
ALOR SETAR | 22 Jun 26 – Kerajaan Negeri Kedah digesa melakukan rombakan pentadbiran termasuk barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), lantikan politik syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Majlis Ketua Kampung (MKK) bagi menyesuaikan pentadbiran negeri dengan perkembangan terkini landskap politik Perikatan Nasional (PN).
Seruan itu dibuat oleh Penyelaras RESET Kubang Pasu, Shafizan Taib yang berpandangan bahawa pentadbiran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor setakat ini telah menunjukkan prestasi yang membanggakan dan berjaya meletakkan negeri itu pada landasan yang betul dari segi ekonomi serta pembangunan rakyat.
Menurut beliau, perubahan politik yang berlaku kebelakangan ini memerlukan satu penyusunan semula bagi memastikan struktur pentadbiran negeri benar-benar mencerminkan realiti politik semasa.
“Perubahan besar dalam landskap politik PN mutakhir ini menuntut satu langkah penyusunan semula agar pentadbiran Kedah benar-benar mencerminkan realiti politik semasa. Malah, ia akan menjadi nafas baharu dalam memacu kemajuan pentadbiran Datuk Seri Sanusi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyeru Menteri Besar Kedah melaksanakan “reset pentadbiran negeri” dengan merombak semua jawatan lantikan politik di peringkat negeri dan akar umbi.
Menurut Shafizan, individu yang masih mempunyai kaitan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak lagi wajar dikekalkan dalam pentadbiran negeri kerana parti itu kini berada dalam kedudukan yang berbeza dengan parti yang menerajui kerajaan Kedah.
Beliau turut menamakan dua Exco kerajaan negeri yang masih mewakili BERSATU iaitu Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam) dan Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan).
Katanya, selain dua Exco berkenaan, masih terdapat ramai wakil BERSATU yang memegang pelbagai jawatan lantikan di peringkat negeri dan kampung yang sewajarnya dinilai semula.
“Semua mereka wajar diganti dengan wakil-wakil Parti Wawasan Negara yang jelas menjadi rakan kongsi PAS di peringkat Parlimen,” katanya.
Shafizan turut berpandangan bahawa cadangan rombakan tersebut selaras dengan keputusan PAS yang dikatakan telah memutuskan hubungan politik dengan BERSATU.
Beliau menegaskan langkah penyusunan semula itu penting bagi memastikan pentadbiran negeri terus stabil dan seiring dengan hala tuju politik baharu yang sedang berkembang dalam kalangan parti-parti pembangkang.
Gerakan RESET yang kini muncul dengan parti Wawasan Negara, dijangka menjadi rakan gabungan baharu dalam Perikatan Nasional. Mesyuarat tergempar PN malam ini dijangka turut membincangkan perkara tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.