Bekas Setiausaha PKR Sabah Sertai Warisan

KOTA KINABALU, 10 NOV 25 – Bekas Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol, mengumumkan penyertaannya ke dalam Parti Warisan Sabah (Warisan), sambil menyifatkan parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal itu sebagai wadah politik yang benar-benar memperjuangkan hak rakyat serta kedaulatan negeri Sabah.

Sazalye berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti secara mendalam hala tuju politik semasa, khususnya berkaitan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40% hasil bersih negeri Sabah.

“Warisan satu-satunya parti yang sehaluan dengan perjuangan saya dan rakan-rakan.

“Saya lihat Warisan bukan sekadar bercakap, tetapi melaksanakan, terutama dalam isu MA63 yang menjadi asas tuntutan rakyat Sabah,” katanya pada sidang akhbar bersama Presiden Warisan di ibu pejabat parti itu semalam.

Warisan juga katanya membuktikan komitmen terhadap rakyat semasa mentadbir negeri antara tahun 2018 hingga 2020 melalui pelbagai inisiatif, termasuk pemberian geran tanah kepada rakyat tempatan.

“Kalau benar Warisan ini parti untuk pendatang tanpa izin (PTI) seperti yang dituduh sesetengah pihak, mustahil kerajaan Warisan dahulu memberikan tanah kepada rakyat Sabah sendiri,” tegasnya.

Sazalye turut menegaskan keputusannya meninggalkan PKR bukanlah kerana permusuhan, sebaliknya kerana ingin bersama wadah politik yang lebih bersih, telus dan konsisten dalam memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini.

“Parti lama bukan tidak baik, tetapi saya memilih bilik yang lebih bersih. Saya lihat Warisan betul-betul menjaga kesatuan dan perpaduan rakyat Sabah,” katanya.

Sazalye hilang jawatan sebagai ketua PKR Kota Marudu dalam pertandingan empat penjuru semasa pemilihan parti pada April lalu.

Sabah bakal melangsungkan PRN yang  dijadualkan pada 29 Nov bagi memilih 73 anggota DUN. Dewan dibubarkan pada 6 Okt lepas. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share