
KUALA LUMPUR | 24 Jun 26 – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) membidas gesaan veteran DAP, Datuk Teng Chang Khim supaya cadangan pembinaan Masjid Warisan di Tun Razak Exchange (TRX) dibatalkan, dengan menegaskan bahawa institusi masjid tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada perpaduan masyarakat.
Ketua Penerangan PERKASA, Azrol Mansor berkata alasan bahawa pembinaan masjid boleh mencetuskan ketidakharmonian dan konflik budaya merupakan pandangan yang tidak wajar serta bertentangan dengan semangat masyarakat majmuk yang selama ini menjadi asas pembinaan negara.
Menurut beliau, pembinaan masjid adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
“Cubaan menggambarkan kewujudan masjid sebagai punca konflik adalah pandangan yang sempit, prejudis dan gagal memahami realiti masyarakat majmuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Azrol berkata kenyataan Teng turut menimbulkan persoalan sama ada masih wujud pihak yang tidak selesa melihat pengukuhan identiti Islam dan Melayu di kawasan pembangunan strategik negara.
Katanya, jika pembinaan rumah ibadat agama lain di kawasan bandar diterima sebagai sebahagian daripada kepelbagaian masyarakat, cadangan membina sebuah masjid juga sepatutnya dilihat dalam kerangka yang sama.
“Jika pembinaan rumah ibadat agama lain di pelbagai lokasi bandar tidak pernah dianggap sebagai ancaman kepada keharmonian, mengapa apabila sebuah masjid dicadangkan, ia terus dipersoalkan dan ditentang?” soalnya.
PERKASA turut mendakwa wujud sikap dwi-standard dalam kalangan pihak tertentu yang lantang mempertahankan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan atas alasan kebebasan beragama, namun pada masa sama membantah pembinaan masjid yang melalui proses perancangan dan kelulusan rasmi.
Menurut Azrol, semua isu berkaitan rumah ibadat perlu ditangani mengikut lunas undang-undang tanpa mengira agama, tetapi tidak boleh wujud usaha menghalang pembinaan masjid yang sah semata-mata kerana sentimen politik atau prejudis terhadap identiti Islam.
Sehubungan itu, PERKASA mendesak Teng menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada umat Islam atas kenyataan yang disifatkan menyinggung sensitiviti majoriti rakyat negara ini.
Beliau berkata kegagalan berbuat demikian hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa masih terdapat segelintir pihak yang sukar menerima kedudukan Islam dan institusi masjid sebagai sebahagian daripada identiti nasional Malaysia.
“Masjid bukan ancaman kepada perpaduan. Yang menjadi ancaman ialah sikap prejudis terhadap Islam dan keengganan menghormati Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Jumaat lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hassan memaklumkan pihaknya sedang merancang pembangunan sebuah masjid ikonik di kawasan berhadapan Menara TRX membabitkan tanah seluas kira-kira 2.2 hektar.
Projek yang dikenali sebagai Masjid Warisan itu dijangka menjadi mercu tanda baharu di ibu negara dan setanding dengan pembangunan moden di kawasan berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.