“Henti Vendeta Sesama Sendiri, Fokus Lawan Kerajaan” – Aktivis RESET

KUALA LUMPUR | 25 Jun 26 – Seorang Aktivis RESET menggesa semua parti pembangkang supaya menghentikan pertikaian dalaman yang berpanjangan dan kembali memberi tumpuan kepada usaha menumbangkan kerajaan pada pilihan raya akan datang.

Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada pendirian Ketua Penerangan BERSATU yang dilaporkan membantah cadangan penyertaan Parti Wawasan Negara (Parti Cinta Malaysia) ke dalam Perikatan Nasional (PN).

Faiz Rahmad atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Cikgu Faiz’ berkata, semua pihak dalam blok pembangkang perlu bergerak ke hadapan dan tidak terus terperangkap dalam perselisihan yang boleh menjejaskan usaha memperkukuh gabungan bagi menghadapi pilihan raya.

“Pendapat individu saya, untuk menang pilihan raya semua parti pembangkang perlu mula bergerak ke hadapan dan kembali meletakkan fokus menyerang kerajaan dahulu berbanding ‘vendetta’ yang tidak berkesudahan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, naratif bahawa BERSATU ditekan atau tidak mendapat layanan adil dalam PN juga tidak berasas memandangkan parti itu menerima agihan kerusi terbesar dalam gabungan berkenaan.

“Jika dikatakan PN tidak adil atau menekan BERSATU pada waktu ini, kita lihat pengagihan kerusi paling banyak diterima BERSATU.

“Maka tidak wajar memainkan sentimen bahawa PN atau mana-mana parti komponen dalam PN membuli atau menekan BERSATU,” katanya.

Faiz turut berpandangan bahawa pertikaian mengenai penyertaan mana-mana parti pembangkang ke dalam PN tidak sepatutnya menjadi keutamaan ketika pembangkang berdepan cabaran lebih besar untuk mendapatkan semula sokongan rakyat.

Katanya, keutamaan semua pihak seharusnya tertumpu kepada usaha memenangi pilihan raya dan membina kekuatan bersama, bukannya menutup ruang kerjasama dengan parti-parti pembangkang lain.

“BERSATU sepatutnya kembalikan fokus untuk menang pilihan raya dan bukan kembali menidakkan kemasukan mana-mana parti pembangkang ke dalam PN,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa pembangkang memerlukan pendekatan yang lebih inklusif dan bersatu sekiranya mahu muncul sebagai alternatif yang lebih kukuh kepada kerajaan pada pilihan raya akan datang. 

Terdahulu, media melaporkan Ketua Penerangan BERSATU, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, pihaknya menyokong penuh kemasukan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan hanya mengemukakan bantahan terhadap penyertaan Parti Cinta Malaysia (PCM).

Katanya, sepertimana kenyataan Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu semalam, bantahan terhadap PCM yang diambil alih oleh kem seteru Bersatu daripada kumpulan Hamzah Zainudin dibuat kerana kemasukannya berpotensi mencetuskan konflik dalaman dalam PN. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share