
KUALA LUMPUR | 1 Julai 26 – Pihak pembelaan dalam perbicaraan kes rasuah Projek Jana Wibawa melibatkan bekas Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, melahirkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya campur tangan pihak ketiga dalam penyediaan keterangan saksi pendakwaan.
Isu itu dibangkitkan oleh barisan peguam bela, Datuk Amer Hamzah Arshad dan Chetan Jethvani, selepas pendedahan di mahkamah hari ini berhubung kewujudan dua versi berbeza kenyataan bertulis membabitkan saksi pendakwaan ke-36, Datuk Hishammuddin Abdul Karim, yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka.
Menurut pembelaan, semakan terhadap dokumen kenyataan bertulis mendapati terdapat perbezaan ketara antara versi asal setebal 10 muka surat yang ditandatangani saksi sebelum ini dengan satu lagi dokumen baharu setebal 15 muka surat yang dikemukakan di mahkamah.
Difahamkan, beberapa fakta yang dianggap material turut digugurkan dalam versi baharu tersebut, sekali gus mencetuskan pertikaian mengenai ketepatan kandungan keterangan saksi.
Suasana di mahkamah turut dilaporkan tegang apabila pihak pendakwaan tidak bersetuju untuk saksi menandatangani kenyataan bertulis 15 muka surat yang dibentangkan.
Pendakwaan terhadap Wan Saiful dikendalikan oleh pasukan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Dr Ifa Sirrhu Samsudin.
Amer Hamzah ketika ditemui di luar mahkamah menyifatkan isu berkenaan sebagai serius kerana ia melibatkan integriti keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah.
Beliau berkata kewujudan dua versi kenyataan itu menimbulkan persoalan sama ada berlaku penyelarasan atau pengaruh pihak luar terhadap kandungan keterangan saksi.
“Perkara ini serius kerana ia membangkitkan persoalan sama ada wujud campur tangan pihak ketiga berkaitan keterangan yang boleh diguna pakai di mahkamah. That is very dangerous,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kemungkinan wujudnya unsur “penapisan” terhadap fakta tertentu sebelum dikemukakan kepada mahkamah.
“Adakah wujud selective evidence yang hanya memihak kepada pihak pendakwaan dikemukakan di mahkamah? That is very dangerous,” katanya.
Tambahnya, pihak pembelaan kini sedang meneliti perkara itu secara terperinci sebelum mempertimbangkan tindakan lanjut, termasuk kemungkinan memfailkan prosiding menghina mahkamah (contempt of court) terhadap pihak yang terlibat.
Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung esok (2 Julai 2026) jam 9 pagi dengan saksi yang sama, Datuk Hishammuddin Abdul Karim. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.