
SHAH ALAM | 8 Julai 26 – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menegaskan buat masa ini Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak memberi perkenan kepada mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu untuk mendirikan solat Jumaat.
Pengerusi MAIS, Senator Datuk Setia Salehuddin Saidin, berkata ketetapan itu dibuat selaras dengan kuasa prerogatif Sultan Selangor sebagai Ketua Agama Islam Negeri dan berdasarkan Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.
“Selaras dengan kuasa prerogatif DYMM Sultan Selangor, MAIS telah dimaklumkan bahawa buat masa ini Baginda Sultan tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di Negeri Selangor diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, antara faktor utama ketetapan itu ialah bagi memastikan usaha memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam tidak terjejas.
“Sekiranya surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan untuk mendirikan solat Jumaat, ianya akan menjejaskan usaha untuk memakmurkan dan mengimarahkan masjid sebagai pusat ibadah umat Islam. Hal ini kerana ia boleh menyebabkan jumlah jemaah di masjid-masjid serta surau solat Jumaat sedia ada berkurangan,” katanya.
Menurut beliau, ketika ini terdapat 448 buah masjid dan 379 buah surau yang diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Selangor dan jumlah itu mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam.
Beliau turut menegaskan bahawa solat Jumaat lebih sesuai didirikan di masjid dan surau yang dibina khusus untuk tujuan ibadah berbanding surau di pusat beli-belah yang lazimnya dikaitkan sebagai lokasi perniagaan, hiburan dan rekreasi.
Selain itu, katanya, pemberian kebenaran kepada surau pusat beli-belah juga memerlukan pelantikan imam, bilal dan petugas oleh MAIS bagi memastikan pemantauan, pengurusan serta pematuhan terhadap peraturan termasuk keseragaman pembacaan khutbah Jumaat dapat dilaksanakan.
Salehuddin berkata, ketika ini hanya terdapat sebuah surau di pusat beli-belah di Selangor yang pernah diberikan kebenaran sementara untuk mendirikan solat Jumaat kerana tiada masjid berhampiran.
“Kebenaran ini adalah bersifat sementara. Namun demikian, kebenaran sementara ini akan ditarik balik jika di masa hadapan terdapat pembinaan masjid yang berdekatan dengan pusat beli-belah tersebut yang mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat untuk mendirikan solat Jumaat,” katanya.
Beliau turut menyeru umat Islam di Selangor supaya terus mengimarahkan masjid dan surau sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu, dakwah dan perpaduan umat Islam.
“MAIS menyeru seluruh umat Islam di Negeri Selangor untuk terus mengimarahkan masjid dan surau agar institusi masjid dan surau dapat dijadikan sebagai pusat perpaduan umat Islam,” katanya.
Baru-baru ini, media melaporkan Kerajaan menggalakkan serta mengalu-alukan mana-mana pihak termasuk pentadbiran kerajaan negeri untuk membangunkan surau khas bagi membolehkan solat Jumaat diadakan di lokasi-lokasi tumpuan seperti kompleks beli-belah yang sering dikunjungi orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, ketika ini, memang ada permintaan untuk berbuat demikian khususnya daripada negeri-negeri yang mempunyai bandar-bandar besar dan sebagainya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.