
KUALA LUMPUR | 13 Julai 26 – Seorang ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Azrol Mansor, menggesa kepimpinan tertinggi parti mengambil tanggungjawab politik dan mempertimbangkan untuk berundur susulan kemelut dalaman yang berpanjangan serta prestasi buruk Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam satu kenyataan media pada Isnin, Azrol yang memperkenalkan dirinya sebagai Penggerak Awal Parti BERSATU sejak 2016 berkata, kegagalan mengurus krisis dalaman telah menjejaskan keyakinan ahli serta persepsi rakyat terhadap parti.
“Saya, mewakili suara ahli-ahli akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), dengan penuh rasa tanggungjawab mendesak kepimpinan pusat mengambil tanggungjawab politik terhadap kegagalan mengurus dan menyelesaikan kemelut dalaman parti yang telah berlarutan sejak sekian lama,” katanya.
Beliau berkata, gelombang peletakan jawatan beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dalam tempoh yang kritikal menunjukkan wujudnya krisis keyakinan yang serius terhadap kepimpinan parti.
Menurutnya, walaupun pimpinan memaklumkan isu berkenaan akan diselesaikan secara dalaman, perkembangan itu tetap menimbulkan persoalan dalam kalangan ahli dan pemerhati politik mengenai hala tuju BERSATU.
Azrol turut mengaitkan kemelut dalaman tersebut dengan prestasi PN dalam PRN Johor yang berakhir baru-baru ini.
“Keputusan Pilihan Raya Negeri Johor yang menyaksikan Perikatan Nasional gagal memenangi sebarang kerusi merupakan satu tamparan hebat yang wajib dijadikan medan muhasabah oleh seluruh kepimpinan.
“Walaupun keputusan pilihan raya dipengaruhi oleh pelbagai faktor, saya berpandangan bahawa pergolakan dalaman, krisis keyakinan terhadap kepimpinan serta kegagalan menampilkan sebuah parti yang bersatu dan stabil telah memberi kesan kepada persepsi rakyat terhadap BERSATU dan Perikatan Nasional,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa kepimpinan tertinggi parti supaya tidak lagi mempertahankan kedudukan masing-masing, sebaliknya membuka ruang kepada proses pembaharuan.
“Justeru, saya menggesa kepimpinan tertinggi BERSATU agar tidak lagi bersikap defensif.
“Sebaliknya, mereka perlu mengambil tanggungjawab politik secara terhormat, termasuk mempertimbangkan untuk berundur bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu yang lebih diyakini, berwibawa dan mampu menyatukan semula parti,” katanya.
Dalam PRN Johor baru-baru ini, BERSATU bertanding di 16 belas kerusi, namun tewas di semua kerusi dan hilang wang deposit. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.