
KUALA LUMPUR | 27 Julai 2026 – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempersoalkan mengapa isu laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji kembali dibangkitkan ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, sedangkan laporan tersebut telah melalui proses penelitian sebelum ini.
Menurut Timbalan Perdana Menteri itu, persoalan utama yang timbul dalam kalangan masyarakat ialah mengapa isu berkenaan dibawa semula pada ketika ini.
“Saya sempat meneliti apabila laporan RCI itu dibentangkan di Kabinet dan tentunya apabila perkara ini dibangkitkan semula ketika pilihan raya Negeri Sembilan, maka di minda khalayak bertanya kenapa sekarang, kenapa tidak dahulu,” katanya.
Bagaimanapun, Zahid berkata hasil dapatan RCI tersebut wajar dibentangkan dan didedahkan kepada umum supaya rakyat memahami keadaan sebenar yang berlaku melibatkan Tabung Haji.
Beliau berkata, beliau menyokong hasrat Perdana Menteri untuk membuat pembentangan mengenai hasil siasatan berkenaan kerana laporan tersebut menunjukkan kerugian Tabung Haji ketika itu bukan berpunca daripada penyelewengan, pecah amanah atau salah pengurusan.
“Ketika itu kerugian Tabung Haji bukan disebabkan oleh penyelewengan, bukan disebabkan oleh pecah amanah, bukan disebabkan oleh salah pengurusan,” katanya.
Menurut Zahid, kemerosotan nilai pelaburan Tabung Haji berlaku susulan kejatuhan harga saham yang dibeli secara langsung mahupun melalui anak syarikat, termasuk saham syarikat tersenarai dan tidak tersenarai.
Beliau berkata keadaan pasaran ketika itu turut dipengaruhi faktor sentimen pelabur selepas keputusan politik yang menyebabkan Barisan Nasional tidak mempunyai jumlah kerusi mencukupi untuk membentuk kerajaan, sekali gus memberi kesan kepada keyakinan pasaran saham.
“Walaupun dari segi fundamental syarikat-syarikat yang tersenarai itu mempunyai fundamental yang kuat, tetapi oleh kerana sentimen kurang baik, maka berlakulah kemerosotan harga pasaran saham,” katanya.
Zahid berkata, laporan RCI turut menunjukkan portfolio pelaburan Tabung Haji ketika itu dikendalikan melalui struktur jawatankuasa pelaburan yang dipengerusikan dan dianggotai oleh golongan profesional, namun tekanan pasaran yang berlaku menyebabkan kejatuhan nilai saham berlaku secara mendadak.
Menurut beliau, pendedahan laporan RCI penting supaya rakyat dapat melihat bahawa isu tersebut perlu difahami berdasarkan fakta dan dapatan siasatan, bukannya hanya berdasarkan persepsi politik.
Isu RCI Tabung Haji kini kembali menjadi perhatian selepas dibangkitkan dalam suasana politik menjelang PRN Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada isu berkenaan menjadi sebahagian daripada perdebatan politik semasa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.