“Kerajaan Bayar RM1 Bilion Setahun Kerana Janji PH Sendiri” – Ahmad Shabery

KUALA LUMPUR | 28 Julai 2026 – Mantan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendakwa kerajaan tidak seharusnya mengeluh terpaksa membayar kira-kira RM1 bilion setahun bagi menampung komitmen berkaitan FELDA kerana beban itu berpunca daripada pelaksanaan janji manifesto Pakatan Harapan (PH) sendiri.

Menurut beliau, ramai yang tersalah faham apabila mengaitkan keseluruhan isu tersebut dengan hutang FELDA, sedangkan sebahagian besar daripadanya melibatkan hutang peneroka yang dihapuskan selepas PH memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya agak terkejut bila ada yang menyebut kesian kerajaan sekarang kena tanggung RM1 bilion setahun untuk bayar hutang FELDA. Kita kena faham, ada hutang peneroka dan ada hutang FELDA,” katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik oleh UMNO Online di media sosial.

Ahmad Shabery menjelaskan, hutang peneroka merangkumi pelbagai bentuk pinjaman yang diberikan FELDA termasuk pembinaan dan pembesaran rumah, kos pendidikan, pembelian komputer serta pembiayaan tanam semula, yang bagi sesetengah peneroka boleh mencecah sehingga RM100,000 bergantung kepada keluasan ladang.

Beliau berkata, ketika kempen PRU14 pada 2018, PH menjanjikan penghapusan hutang peneroka sebagai antara tawaran utama kepada warga FELDA, sekali gus menyebabkan FELDA terpaksa menyerap kos tersebut apabila janji berkenaan dilaksanakan.

“Siapa suruh berjanji? Tiba-tiba mengeluh pula kerajaan kena bayar RM1 bilion setahun kerana janji yang kamu buat. Jangan komplen,” katanya.

Menurut beliau, selain penghapusan hutang peneroka, FELDA turut menanggung komitmen kewangan yang besar susulan keputusan mengambil alih pegangan saham dalam FGV Holdings Berhad, yang memerlukan pembiayaan berbilion ringgit.

Ahmad Shabery turut menyindir budaya membuat janji pilihan raya tanpa mengambil kira implikasi kewangan kepada kerajaan.

“Pada waktu itu bila buat janji, mereka sentiasa berfikir menang dulu, lepas itu orang akan lupa tentang janji. Tetapi bila sudah menang, janji itu terpaksa dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan penghapusan hutang peneroka mula diteruskan ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan komitmen kewangan tersebut masih ditanggung kerajaan sehingga hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Shabery mengingatkan agar isu pembayaran RM1 bilion setahun tidak dijadikan alasan untuk menyalahkan FELDA semata-mata, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks keputusan dasar dan komitmen yang lahir daripada janji manifesto kerajaan ketika itu. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share