“PH Dikuasai DAP, Angka Tak Boleh Membohong” – Ahmad Maslan

SEREMBAN | 29 Julai 2026 – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mendakwa Pakatan Harapan (PH) dikuasai DAP berdasarkan komposisi kerusi yang dimenangi gabungan itu di beberapa negeri dan Parlimen, sambil menggesa pengundi menolak PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut beliau, dakwaan tersebut bukan bersandarkan persepsi, sebaliknya berdasarkan bilangan kerusi yang dimiliki setiap parti dalam PH. Katanya, daripada lapan kerusi yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Negeri Johor baru-baru ini, enam dimenangi DAP, manakala masing-masing satu dimenangi PKR dan Amanah.

Ahmad berkata keadaan sama turut dapat dilihat di Negeri Sembilan apabila daripada 17 kerusi DUN yang disandang PH, DAP memiliki 11 kerusi, PKR lima kerusi dan Amanah satu kerusi. Beliau turut membandingkan komposisi itu dengan Selangor yang menyaksikan DAP mempunyai 15 kerusi berbanding PKR 12 dan Amanah lima, manakala di Pulau Pinang DAP memegang 19 kerusi, PKR tujuh dan Amanah satu.

“Kalau siapa-siapa yang minatkan PH, saya ingin memberitahu mereka bahawa PH dikuasai oleh DAP. Di peringkat Persekutuan pula, DAP mempunyai 40 kerusi Parlimen, sama banyak dengan PKR, manakala Amanah lapan kerusi. Oleh itu saya ingin menyatakan kalau mengundi PH bererti menguatkan DAP… angka tak boleh membohong. Yang mana banyak itulah yang menguasai. Jadi dalam kes PH ini, yang menguasai ialah DAP,” katanya ketika berkempen pada PRN Negeri Sembilan.

Sehubungan itu, Ahmad menggesa pengundi yang mahukan wakil masyarakat Cina supaya memberi sokongan kepada MCA yang merupakan komponen Barisan Nasional (BN), sambil menegaskan BN kekal sebagai gabungan pelbagai kaum melalui kerjasama UMNO, MCA dan MIC.

Beliau pada masa sama menolak dakwaan bahawa BN berada dalam keadaan tidak stabil, sebaliknya mendakwa gabungan itu kekal bersatu berbanding PH yang menurutnya berdepan pergeseran dalaman.

“Barisan Nasional solid, siapa kata Barisan Nasional tak solid? Barisan Nasional tidak ada bergaduh-gaduh. Kalau kita nak lihat PKR, PKR sendiri berpecah, dengan kem Rafizi berlawan di dalam dan Rafizi sampai keluar. Yang solid ialah UMNO dan BN, bukan mereka,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share