
KUALA LUMPUR | 31 Julai 26 – ILHAM Centre mendapati Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026 memperlihatkan perubahan ketara dalam corak sokongan pengundi bukan Melayu apabila sebahagian pengundi Cina dan India mula menjauhkan diri daripada Pakatan Harapan (PH).
Menurut laporan bertajuk Gelombang Melayu-Islam Meranapkan PH di Negeri Sembilan, sokongan yang sebelum ini dianggap sebagai kekuatan tradisi PH kini tidak lagi diberikan secara automatik, sebaliknya dipengaruhi oleh pelbagai faktor ekonomi, dasar kerajaan dan persepsi terhadap pentadbiran semasa.
ILHAM berkata, sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan tersebut lebih didorong oleh ketiadaan pilihan alternatif yang diyakini berbanding keyakinan terhadap prestasi kerajaan.
“Dapatan kajian lapangan menunjukkan sebahagian besar pengundi Cina masih memilih PH, namun keputusan tersebut lebih didorong oleh ketiadaan alternatif politik yang benar-benar diyakini, bukannya kerana tahap keyakinan yang tinggi terhadap prestasi kerajaan.”
Menurut laporan itu, rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Cina didorong oleh beberapa isu nasional, termasuk pelaksanaan e-invois, pelarasan subsidi, polisi percukaian dan persepsi bahawa proses reformasi institusi bergerak terlalu perlahan.
ILHAM turut menyatakan bahawa kelompok berkenaan merasakan harapan yang diletakkan kepada kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tidak diterjemahkan dalam bentuk perubahan yang diharapkan.
Dalam kalangan pengundi India pula, ILHAM mendapati wujud kecenderungan yang semakin jelas untuk meninggalkan PH dan beralih kepada gabungan lawan.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah isu penguatkuasaan terhadap kenderaan lebih muatan, pendekatan kerajaan dalam mengendalikan isu berkaitan rumah ibadat serta beberapa dasar pentadbiran yang dianggap tidak sensitif terhadap keperluan masyarakat India.
“Dengan komposisi pengundi India di Negeri Sembilan yang agak signifikan iaitu sekitar 15 peratus, perubahan sentimen ini memberi implikasi besar kepada beberapa kawasan tumpuan.”
Menurut laporan itu, kawasan seperti Jeram Padang, Seremban Jaya, Sri Tanjung, Rantau, Lukut dan Mambau dijangka menerima kesan paling besar sekiranya perubahan sokongan itu berterusan.
ILHAM berpandangan bahawa perkembangan tersebut menjadi petunjuk bahawa sokongan tradisi terhadap sesebuah parti politik tidak lagi boleh dianggap sebagai sesuatu yang kekal, sebaliknya semakin bergantung kepada keberkesanan dasar dan tahap kepekaan kerajaan terhadap isu rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.