
KUALA LUMPUR, 30 NOV 25 – Pengasas dan mantan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sarawak, Johan Mohamad, menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan sebagai Presiden BERSATU dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang disifatkan sebagai “kehancuran” bagi parti itu.
Dalam satu kenyataan, Johan mendakwa penyokong Muhyiddin cuba mengalihkan kesalahan kepada Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, meskipun kegagalan sebenar berpunca daripada kelemahan kepimpinan Muhyiddin sendiri.
“Hamzah dipaksa jual jenama ‘Abah’ yang sudah basi”, katanya.
Johan berkata, Hamzah memikul tugas hampir mustahil apabila terpaksa menjual imej Muhyiddin kepada pengundi, sedangkan populariti bekas Perdana Menteri itu semakin merosot.
“Jurujual tersohor pun tak akan dapat menjual makanan basi.”
Beliau menyifatkan kegemilangan imej “Abah” pada PRN 2020 sudah berakhir.
“Itu dulu. Hari ini ‘Abah’ sudah jadi ‘Atok’ yang membosankan,” katanya.
Menurut Johan, kedudukan Muhyiddin sebagai “poster boy” PN bukan sahaja gagal membantu kempen, malah mengganggu naratif yang cuba dibawa parti.
PN mempromosikan calon-calon muda dan wajah baharu, namun mesej itu dianggap bercanggah kerana tokoh utama mereka ialah pemimpin berusia.
Johan berkata satu-satunya berita baik bagi PN ialah kemenangan PAS di Karambunai yang menunjukkan penerimaan masyarakat pelbagai kaum terhadap parti Islam itu.
Sebaliknya, katanya, prestasi BERSATU di bawah Muhyiddin merudum teruk daripada 11 kerusi pada PRN 2020 kepada kosong kali ini.
“Ini bukan lagi mengecewakan, tetapi satu kehancuran.”
“Sudah tiada taring, tiada gigi” – gesa Muhyiddin berundur
Johan menegaskan bahawa Muhyiddin perlu mengambil tanggungjawab atas kekalahan besar PN.
“Jika bermaruah, dia mesti terima hakikat bahawa dia bukan sahaja sudah tiada taring tetapi kini sudah tiada gigi dan tak mampu menggigit walaupun sedikit.”
Beliau mencadangkan agar PAS mengambil alih jawatan Pengerusi PN, manakala Hamzah Zainuddin dilantik sebagai Presiden BERSATU.
“Jika Muhyiddin tidak melepaskan jawatan, BERSATU dan PN akan terus merudum,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.