WAWASAN NEGARA Perak Bakal Lantik 24 Penyelaras Bahagian

IPOH | 9 Ogos 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN NEGARA) Negeri Perak bakal melantik 24 Penyelaras Bahagian di seluruh negeri dalam masa terdekat sebagai langkah memperkukuh struktur parti dan memperluas keahlian.

Menurut Penyelaras WAWASAN NEGARA Negeri Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, pelantikan itu akan dibuat oleh Majlis Tertinggi WAWASAN NEGARA di peringkat pusat.

Beliau berkata, antara tugas utama penyelaras berkenaan adalah menggerakkan usaha pendaftaran ahli baharu menerusi kaedah dalam talian dan secara manual.

“Antara peranan utama Penyelaras Bahagian ini ialah untuk mendaftar seberapa ramai ahli baharu sama ada secara dalam talian atau secara manual dengan mengisi borang secara fizikal,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurut beliau, Mesyuarat Khas Perwakilan WAWASAN NEGARA pada 7 Ogos lalu turut meluluskan beberapa usul berkaitan pindaan perlembagaan parti, khususnya membabitkan struktur organisasi di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian.

Bagaimanapun, pelaksanaan struktur baharu itu masih menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Sementara menunggu kelulusan tersebut, kesemua Penyelaras Bahagian yang bakal dilantik akan diberi tanggungjawab untuk memulakan proses kemasukan ahli baharu ke dalam parti.

WAWASAN NEGARA Perak pada masa sama mengajak rakyat negeri itu untuk menyertai parti berkenaan bagi bersama-sama membina dan mengembangkan gerakan politik baharu tersebut.

Lebih menarik, parti itu turut membuka pintu kepada bekas pemimpin dan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai WAWASAN NEGARA.

“Kita juga turut membuka pintu kepada bekas-bekas pemimpin, ahli-ahli BERSATU untuk bersama-sama menyertai WAWASAN NEGARA,” kata Zainol Fadzi.

Perkembangan itu memberi gambaran bahawa WAWASAN NEGARA kini mula memberi tumpuan serius kepada pembinaan jentera akar umbi di Perak, khususnya melalui peluasan keahlian dan penyusunan struktur bahagian. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share