“Amanah Perlu Berjaya Sebagai Parti Melayu-Islam, Bukan Bergantung Pada Anwar” – Zaid Pertahan Hadi

KUALA LUMPUR | 10 Ogos 26 — Amanah tidak boleh sekadar bergantung kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangkis pengaruh dan hujah Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai kedudukan DAP dalam politik Melayu-Islam, sebaliknya perlu membuktikan sendiri bahawa parti itu mampu berjaya sebagai sebuah parti Melayu-Islam, kata Ahli PAS, Datuk Zaid Ibrahim.

Zaid secara terbuka mencabar Amanah supaya membuktikan kekuatan politiknya sendiri jika benar-benar mahu menafikan pandangan Hadi bahawa DAP merupakan ancaman terhadap identiti politik Melayu-Islam, bukannya mencari jalan mudah dengan membawa perdebatan itu ke mahkamah atau bersandar kepada kedudukan Anwar.

“Nak sanggah Hadi, Amanah perlu lebih berjaya sebagai sebuah parti Melayu-Islam, dan bukan sekadar bergantung kepada Anwar,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Zaid berkata, pandangan Hadi mengenai DAP sebagai ancaman kepada masyarakat Melayu-Islam tidak semestinya merujuk kepada ancaman fizikal atau keselamatan, sebaliknya berkaitan identiti politik Melayu-Islam yang menurut Hadi perlu menjadi teras identiti nasional.

“Apabila Hadi bercakap mengenai DAP sebagai ancaman kepada masyarakat Melayu-Islam, beliau tidak merujuk kepada ancaman fizikal atau keselamatan terhadap masyarakat tersebut. Beliau berpendapat DAP akan mengancam identiti politik Melayu-Islam, yang pada pandangan beliau mesti menjadi teras identiti nasional. Itu pandangan beliau,” katanya.

Lebih jauh, Zaid berkata pandangan tersebut mempunyai pengaruh kerana dipercayai majoriti masyarakat Melayu-Islam.

“Majoriti masyarakat Melayu-Islam mempercayai beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Zaid menyifatkan cadangan supaya Hadi dibawa ke mahkamah untuk membuktikan DAP sebagai ancaman kepada masyarakat Melayu-Islam sebagai satu pendekatan yang naif.

“Amanah mahu Tok Guru Hadi pergi ke mahkamah untuk membuktikan bahawa DAP adalah ancaman kepada masyarakat Melayu-Islam. Betapa naifnya. Mahkamah bukan satu-satunya tempat untuk mencari kebenaran,” katanya.

Menurut Zaid, penilaian terhadap sesuatu isu politik tidak semestinya memerlukan pembuktian melalui prosiding mahkamah kerana masyarakat turut membuat kesimpulan berdasarkan pemerhatian dan pengalaman.

“Kita boleh mengetahui banyak perkara melalui pemerhatian dan pengalaman. Tidak semua perkara perlu dibawa ke mahkamah,” katanya.

Zaid turut memberikan perbandingan bagaimana perkara seperti niat Zionis terhadap rakyat Palestin atau dakwaan bahawa Amanah merupakan parti Melayu yang menghormati DAP boleh dibuktikan di mahkamah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share