PN ‘walkout’ Tanda Protes PMX Tak Hadir, Kerajaan Madani Buat Drama – Wan Saiful

KUALA LUMPUR | 11 Ogos 26 – Sidang Khas Dewan Rakyat bertukar kecoh apabila blok pembangkang Perikatan Nasional (PN) bertindak keluar dewan (walkout) sebagai tanda protes terhadap ketidakhadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perbahasan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH).

Tindakan beramai-ramai itu diambil selepas isu yang disifatkan sebagai keutamaan umat Islam itu didakwa sekadar dijadikan ‘drama politik’ oleh Kerajaan Madani.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, mesyuarat khas yang dipanggil di bawah Peraturan Mesyuarat 11(3) itu sepatutnya ditangguhkan apabila pihak utama yang memanggil persidangan gagal memunculkan diri.

“Ini isu besar melibatkan wang simpanan jutaan umat Islam dan maruah institusi yang menjadi model dunia. Malangnya, Perdana Menteri yang memanggil sidang khas ini tidak hadir dan difahamkan mengambil cuti sakit (MC).

“Beliau yang sebelum ini membangkitkan isu tuduhan ‘sakau bilion ringgit’ semasa PRN Negeri Sembilan sepatutnya hadir berdepan dengan dewan, bukannya menyerahkan tugasan sekadar membaca teks,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Wan Saiful turut mempertikaikan status Laporan RCI berkenaan yang didakwa diturunkan taraf (downgrade) kepada sekadar ‘Penerangan Menteri’ tanpa sebarang usul, undian atau keputusan rasmi.

Tugasan membacakan teks penerangan tersebut diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan.

“Kalau setakat minta Menteri baca kenyataan bertulis tanpa ada keputusan dan tanpa kelibat Perdana Menteri, baik tidak payah panggil Sidang Khas Parlimen yang membazir masa. Keluar kenyataan media sahaja sudah cukup.

“Laporan RCI ini sudah siap sejak Julai 2022 dan dibawa ke Kabinet pada Disember 2022. Mengapa ia disorok selama tiga tahun tujuh bulan hanya untuk diakhiri dengan drama membaca teks di dewan?” soal beliau.

Tegas Naib Presiden Parti Wawasan Negara itu, keputusan bertindak keluar dewan dibuat kerana PN enggan menjadi sebahagian daripada persidangan yang dianggap tidak memberi nilai atau jawapan tuntas kepada pendeposit TH.

“Prinsip kita jelas, kita mahukan ketelusan dan kebenaran untuk rakyat,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share