‘Kami Bukan Takut, Kami Bukan Bacul’ – Wan Fayhsal Mahu Bahas RCI Tabung Haji Jika Anwar Hadir

PARLIMEN | 11 Ogos 26 – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan pembangkang tidak pernah berniat untuk mengelak daripada membahaskan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH), sebaliknya mahu perbahasan itu dilakukan secara lebih menyeluruh dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ketidakhadiran Anwar dalam sidang khas Dewan Rakyat hari ini menyebabkan pembangkang mempersoalkan bentuk persidangan yang hanya memberikan ruang kepada menteri untuk menerangkan laporan berkenaan.

“Kami bukan takut, kami bukan bacul. We are not chickening out from the hall. We want to debate. We want to cross-examine Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas keluar dari Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, pembangkang bersedia untuk berbahas sekiranya Perdana Menteri hadir bagi menjawab persoalan berkaitan dakwaan dan isu yang dibangkitkan sebelum ini mengenai pengurusan Tabung Haji.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, sepatutnya usul untuk membahaskan laporan RCI berkenaan dibentangkan oleh pihak yang memohon supaya sidang khas itu diadakan, namun perkara tersebut tidak berlaku kerana Anwar tidak hadir.

“Sepatutnya usul membahaskan laporan RCI Tabung Haji dibentangkan oleh orang yang memintanya adakan sidang ini, iaitu Yang Amat Berhormat Perdana Menteri.

“Tapi bila tidak ada, kita bersedia bahas. Pembangkang bersedia berbahas kalau beliau hadir sebab kita nak dengar, cross-examine Yang Amat Berhormat Menteri sendiri yang banyak membuat dakwaan sebelum ini,” katanya.

Beliau menyifatkan isu Tabung Haji sebagai perkara besar yang tidak wajar diselesaikan sekadar melalui sesi penerangan menteri.

Katanya, format persidangan hari ini seolah-olah menurunkan taraf perbahasan kepada “pendengaran menteri” yang tidak memberikan ruang secukupnya untuk perbahasan dan pengundian.

“Hari ini dia turunkan taraf sidang ini kepada pendengaran menteri. Pendengaran menteri bukan urgent. Tidak ada dari segi perbahasan, mengundi dan sebagainya.”

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mempersoalkan sejauh mana laporan RCI berkenaan meneliti secara mendalam tempoh pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan, termasuk ketika Lim Guan Eng menjadi Menteri Kewangan.

Beliau secara khusus membangkitkan persoalan mengenai keputusan berkaitan aset Tabung Haji yang diletakkan di bawah pengurusan Urusharta Jamaah.

“Di mana sisi ataupun bahagian laporan RCI yang menyiasat zaman pentadbiran Menteri Kewangan Pakatan Harapan daripada DAP, Lim Guan Eng, ketika mana aset-aset Tabung Haji diletakkan di bawah Urusharta Jamaah?

“Jadi ini semua perkara yang tak dibahaskan dalam laporan RCI secara mendalam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata pembangkang melihat masih terdapat banyak “lompong” dalam laporan yang perlu diperjelaskan sebelum perbahasan dibuat secara menyeluruh.

Wan Ahmad Fayhsal turut memberi amaran bahawa jika laporan berkenaan hanya dibentangkan dan diterangkan dalam sidang khas hari ini tanpa ruang perbahasan lanjut, isu tersebut mungkin berakhir tanpa penelitian sewajarnya.

“Kalau bentang hari ini, lepas ini tak ada bentang lagi lah. Sekadar lepaskan batuk di tangga.

“Ini kami nampak ketidakjujuran dan satu permainan dan helah untuk kerajaan yang ada pada hari ini mempolitikkan isu ini dan tidak bertanggungjawab untuk mendedahkan hal yang sebenar,” katanya.

Beliau bagaimanapun menegaskan pendirian pembangkang bukan untuk mengelak daripada membincangkan RCI Tabung Haji, sebaliknya mahu memastikan isu itu dibahaskan secara telus dan menyeluruh.

“Kami bersedia menunggu sampai beliau pulih untuk masuk ke dalam Dewan Rakyat dan kita boleh bahas panjang lebar tentang hal ini.

“Insya-Allah saya yakin rakyat Malaysia faham dan kita mahu ketelusan yang lebih dalam RCI Tabung Haji ini,” katanya.

Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen pembangkang termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta Wan Ahmad Fayhsal antara yang meninggalkan Dewan Rakyat selepas cadangan supaya sidang khas ditangguhkan tidak diterima.

Sidang khas itu diadakan bagi memberi ruang kepada Ahli Parlimen meneliti laporan RCI berkaitan pengurusan dan operasi Tabung Haji yang meliputi tempoh 2014 hingga 2020. Laporan berkenaan didedahkan kepada umum pada 29 Julai lalu dan mengandungi 25 syor penambahbaikan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share