
KUALA LUMPUR | 17 Ogos 26 – Naib Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan keputusan DAP untuk terus kekal dalam kerajaan selepas pengundian pada Konvensyen DAP sebagai bukti parti itu “kemaruk kuasa” dan takut kehilangan kedudukan.
Wan Saiful berkata, keputusan berkenaan sebenarnya sudah boleh dijangka dari awal dan mendakwa keseluruhan proses perbahasan serta pengundian berhubung usul kedudukan DAP dalam kerajaan tidak lebih daripada “drama politik murah”.
“Apa yang saya nyatakan sebelum ini sudah terbukti betul dengan tamatnya pengundian di Konvensyen DAP.
“Semuanya hanyalah satu drama politik murah yang dimainkan DAP. Sekarang mereka akan terus jadi Menteri dengan alasan ahli-ahli yang mahu kekal,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, tidak sepatutnya 14 pembahas mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan sekiranya keputusan untuk kekal dalam kerajaan sudah dapat dijangka sejak awal.
“Sepatutnya tak perlu pun untuk 14 orang pembahas naik membahaskan usul. Sebab keputusannya sudah boleh dijangka dari awal, iaitu DAP sudah kemaruk kuasa dan takut hilang takhta,” katanya.
Menurut Wan Saiful, alasan mengenai “kestabilan negara” yang digunakan bagi menyokong keputusan DAP untuk terus berada dalam kerajaan hanyalah topeng bagi menutup apa yang didakwanya sebagai keengganan parti itu melepaskan kuasa.
“Segala alasan ‘kestabilan negara’ yang dilaungkan hanyalah topeng untuk menutup hakikat sebenar: mereka sudah mabuk dengan kuasa,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keputusan tersebut sebagai sebahagian daripada “pementasan wayang PH” dan menggesa rakyat membuat penilaian terhadap DAP pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
“Cukuplah kita dihidangkan dengan pementasan wayang PH yang sebegini.
“Dalam PRU16 nanti, biar rakyat yang tamatkan riwayat hidup DAP,” katanya.
Semalam, majoriti perwakilan DAP memilih untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga akhir penggal.
Keputusan itu diumumkan Speaker Persidangan, Cha Kee Chin selepas proses pengundian pada Persidangan Kebangsaan DAP kali ke-60 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.
“Daripada 2,099 undi sah, sebanyak 1,857 undi menyokong usul, manakala 242 undi tidak menyokong,” katanya ketika mengumumkan keputusan pengundian. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.