
KUALA LUMPUR | 18 Ogos 26 – Hasrat Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kesemua 21 kerusi yang dimenanginya di Melaka perlu mengambil kira prinsip timbal balas dalam rundingan kerusi dengan Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid.
Beliau berkata, kerjasama BN-PN masih boleh direalisasikan sekiranya pembahagian kerusi dibuat dengan prinsip timbal balas yang sekata antara negeri.
“Sekiranya BN mahu terus kekal mempertahankan 21 kerusinya di Melaka, kerjasama dengan PN masih boleh direalisasikan dengan meluaskan skop kawasan pilihanraya kepada negeri-negeri lain dengan peraturan timbal balas yang sekata,” katanya kepada Politiko hari ini.
Menurut Ahmad Fauzi, jika BN tidak mahu berkompromi mengenai kerusi penyandangnya di Melaka, prinsip sama perlu diterima ketika rundingan kerusi di negeri-negeri yang dikuasai PN.
“Jika BN tidak berkompromi dalam kerusi penyandang (incumbent) di Melaka, maka prinsip sama perlu dipegang dalam rundingan kerusi-kerusi di Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang dikuasai PN,” katanya.
Beliau berkata pendirian sedemikian berisiko menjejaskan hasrat BN-UMNO untuk kembali menembusi negeri yang pernah menjadi kubu parti itu.
“Maka BN-UMNO perlu beringat, harapan mereka untuk menembusi negeri-negeri kubu PN yang pernah mereka kuasai dulu pun seperti Kedah dan Terengganu akan terbantut,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Fauzi berpandangan PN masih mempunyai ruang untuk mencabar PH di baki tujuh kerusi di Melaka tanpa penglibatan BN.
“PN masih boleh melawan PH di baki 7 kerusi di Melaka tanpa penglibatan BN, dan mempunyai harapan realistik untuk menang berdasarkan ketidakpuashatian DAP dengan kerajaan BN di Melaka walaupun DAP dan BN masih sama-sama sekutu dalam kerajaan perpaduan pada peringkat Pusat,” katanya.
Beliau turut melihat kemungkinan kerjasama BN-PN tidak semestinya berakhir pada peringkat pembahagian kerusi.
Sekiranya BN berjaya mempertahankan kerajaan Melaka, katanya, BN masih boleh membentuk kerajaan baharu dengan kerjasama PN selepas pilihan raya.
“BN boleh membentuk kerajaan baharu dengan kerjasama PN, dan melantik sekurang-kurangnya seorang Exco dalam kalangan ADUN PN yang menang,” katanya.
Pandangan itu menjadikan rundingan kerusi Melaka sebahagian daripada percaturan lebih besar BN-PN. Keputusan mengenai 21 kerusi BN di Melaka bukan sahaja menentukan kedudukan kedua-dua gabungan di negeri itu, tetapi berpotensi memberi kesan kepada rundingan di negeri-negeri kubu PN.
Perkembangan itu hadir ketika kemungkinan kerjasama BN-PN bagi menghadapi PRN Melaka terus menjadi perhatian selepas Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, baru-baru ini berkata semua pilihan, termasuk kerjasama dengan BN, akan dipertimbangkan.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan prestasi kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan boleh menjadi penentu kepada jajaran politik baharu menghadapi PRN Melaka dan PRU16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.