
KUALA LUMPUR | 19 Ogos 26 – Politik identiti tidak mati, sebaliknya berubah bentuk mengikut perkembangan masyarakat dan keperluan pengundi, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak wajar ditafsirkan sebagai penolakan terhadap politik identiti dan penerimaan terhadap politik prestasi.
Menurut Ronald, kecenderungan meletakkan politik identiti dan politik prestasi sebagai dua kutub yang bertentangan terlalu mudah kerana kedua-duanya boleh saling berkait dalam masyarakat majmuk.
“Dalam masyarakat majmuk, identiti bukan sekadar soal kaum, agama atau bahasa.
“Ia berkait rapat dengan bagaimana sesuatu kelompok memahami kedudukan, kepentingan, hak dan masa depan mereka dalam sebuah negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, politik identiti turut merangkumi isu representasi, pendidikan, peluang ekonomi, mobiliti sosial dan akses kepada kuasa.
Katanya, tuntutan sesuatu komuniti terhadap kepentingannya tidak semestinya bermaksud memusuhi kelompok lain, sebaliknya boleh menjadi sebahagian daripada politik berasaskan kepentingan yang normal dalam demokrasi.
Prestasi untuk siapa?
Dalam masa sama, Ronald berkata politik prestasi juga tidak boleh diukur hanya berdasarkan angka pertumbuhan, jumlah pelaburan, projek pembangunan atau statistik ekonomi.
“Persoalan rakyat jauh lebih asas: prestasi untuk siapa? Siapa yang mendapat manfaat? Siapa yang mendapat peluang? Dan siapa yang masih tertinggal?” katanya.
Menurutnya, di sinilah politik identiti dan politik prestasi sebenarnya bersilang.
Kerajaan, katanya, boleh membina jalan, menarik pelaburan dan mencatat pertumbuhan ekonomi, namun persoalan politik masih belum selesai jika sebahagian masyarakat merasakan mereka tidak diwakili, tidak mendapat peluang yang adil atau tidak mempunyai tempat sewajarnya dalam struktur kuasa.
Ronald turut mengingatkan supaya kerajaan tidak menentukan sendiri apa yang dianggap sebagai “politik prestasi”, sedangkan isu berkaitan identiti, representasi, agama atau ketidakseimbangan sosial mudah dilabel sebagai “politik identiti”.
Bukan semua politik identiti politik kebencian
Bagaimanapun, beliau menegaskan politik identiti yang mengeksploitasi kaum atau agama untuk membina kebencian, ketakutan dan permusuhan perlu ditolak.
“Jangan pula setiap tuntutan yang berpandukan Perlembagaan Persekutuan terhadap hak, kepentingan dan kedudukan sesuatu komuniti terus dicop sebagai politik identiti.
“Tidak semua politik identiti adalah politik kebencian, sebagaimana tidak semua politik prestasi menjamin keadilan,” katanya.
Beliau berkata, dalam masyarakat majmuk, ukuran kejayaan kerajaan tidak seharusnya hanya berdasarkan laporan dan statistik rasmi, tetapi turut mengambil kira apa yang dirasai rakyat di lapangan.
Menurutnya, politik yang matang ialah politik yang mampu menggabungkan prestasi dengan pengurusan identiti secara adil, inklusif dan bertanggungjawab.
“Prestasi tanpa keadilan boleh melahirkan rasa terpinggir. Identiti tanpa inklusiviti pula boleh melahirkan perpecahan.
“Angka boleh menunjukkan pencapaian, tetapi keadilan membina kepercayaan. Identiti membentuk rasa memiliki manakala prestasi mengukur sejauh mana pemerintah benar-benar bekerja,” katanya.
Baru-baru ini, Naib Presiden PKR yang menjalankan tugas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu mengelak daripada terperangkap dalam politik identiti dan perkauman, sebaliknya mengajak rakyat menilai parti serta kerajaan berdasarkan prestasi.
Menurutnya, penilaian terhadap sesebuah kerajaan seharusnya dibuat berdasarkan pencapaian ekonomi, kebajikan rakyat serta keupayaannya membantu setiap lapisan masyarakat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.