Rasuah Atau Senjata Politik? Persoalan Hadi Sukar Diketepikan

Kenyataan Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai isu rasuah wajar dilihat lebih jauh daripada sekadar polemik politik PAS dan kerajaan.

Presiden PAS itu sebenarnya sedang mengangkat satu persoalan yang lebih besar: adakah perang terhadap rasuah benar-benar dilakukan secara menyeluruh, atau isu rasuah akhirnya menjadi senjata politik terhadap pihak tertentu?

Dalam kenyataannya, Hadi mempersoalkan tindakan yang hanya tertumpu kepada penerima rasuah, sedangkan pemberi dan orang tengah juga memainkan peranan penting dalam sesuatu transaksi haram. Beliau turut mempersoalkan kes yang menurutnya disiasat secara tidak konsisten apabila melibatkan individu berpengaruh.

Kalau benar kerajaan mahu memerangi rasuah, pemberi, penerima dan orang tengah semuanya mesti berdepan tindakan undang-undang yang sama. Tidak boleh wujud persepsi bahawa seseorang dijadikan pesalah kerana menerima, sedangkan pihak yang membayar atau mengatur transaksi berada di luar radar.

Lebih penting, undang-undang tidak sepatutnya dilihat sebagai alat untuk menentukan siapa yang perlu ditekan dan siapa yang perlu dilindungi.

Hadi juga mengangkat persoalan mengenai kedudukan Melayu-Islam dalam isu rasuah. Menurut beliau, kelompok Melayu-Islam yang ramai berada dalam sektor pentadbiran lebih terdedah untuk menjadi penerima rasuah, tetapi pada masa sama perhatian awam perlu diberikan kepada pihak yang menawarkan rasuah dan mendapatkan keuntungan daripada urusan tersebut.

Ini bukan bermaksud kesalahan rasuah harus dimaafkan kerana pelakunya Melayu atau Islam.

Sebaliknya, kalau benar-benar mahu berlaku adil, jangan jadikan identiti penerima sebagai penamat cerita. Cari juga siapa yang membayar. Cari siapa yang menjadi orang tengah. Cari siapa yang mendapat manfaat.

Hadi mempersoalkan kecenderungan menjadikan kelemahan atau kesalahan segelintir individu sebagai gambaran terhadap keseluruhan institusi yang membawa jenama Islam. Beliau mendakwa Tabung Haji lebih mudah menjadi tajuk besar kerana identiti Islamnya, sedangkan sumbangan institusi tersebut kepada masyarakat juga perlu dinilai secara adil.

Ini persoalan yang wajar dibincangkan tanpa emosi.

Mengkritik salah laku tidak bermaksud meruntuhkan institusi. Tetapi membesarkan kesalahan individu sehingga keseluruhan institusi dilabel buruk juga bukan keadilan.

Dalam konteks politik semasa, kenyataan Hadi menjadi lebih signifikan kerana isu Tabung Haji memang sedang berada dalam perhatian awam susulan siasatan berkaitan perkara yang dibangkitkan dalam laporan RCI. Maka, tuntutan supaya penguatkuasaan dibuat secara menyeluruh dan tidak terpilih memang wajar diberi perhatian.

Namun ada satu perkara yang paling penting daripada semua itu.

Kerajaan Madani dibina dengan janji reformasi, tatakelola dan perang terhadap rasuah. Maka ukuran kejayaannya bukan berapa ramai individu boleh ditangkap atau berapa banyak tajuk utama boleh dihasilkan.

Ukuran sebenarnya ialah sama ada rakyat melihat undang-undang dilaksanakan secara adil.

Tetapi jika penguatkuasaan dilihat tidak seimbang, maka kerajaan sendiri membuka ruang kepada tuduhan bahawa rasuah telah bertukar daripada isu integriti kepada senjata politik.

PAS tidak seharusnya takut kepada perang terhadap rasuah. Malah, PAS patut menyokong perang itu — tetapi perang yang benar-benar perang, bukan perang selektif yang memilih sasaran dan membina persepsi buruk terhadap lawan politik. @analitiko

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Sokong Membawa Rebah

Kedua, dakwaan kononnya Dr Mahathir penyebab perpecahan Melayu juga dipatahkan, kerana mereka sendirilah yang kini mencetus perpecahan, sementara Dr Mahathir cuba menghindarinya.
Read More
Total
0
Share