Jumaat lalu, saya membicarakan tonggak/tiang pertama Konsensus Nasional Baru oleh Datuk Seri Hamzah Zainudin, iaitu ‘Matlamat Bersama/Disepakati’. Kali ini, saya membicarakan tonggak keduanya, ‘Kemakmuran Bersama’, iaitu menjadikan Malaysia ‘negara yang rakyatnya makmur dengan saksama’ di mana rakyat didahulukan dan seluruh pembangunan adalah untuk mencapai tujuan ini.
Butirannya:
–Setiap rakyat dijamin makanan, pendapatan dan penginapan. Tujuan utama pembangunan mestilah menjamin setiap rakyat mempunyai makanan di atas meja, wang di dalam poket dan rumah untuk berlindung. Ketiga-tiganya menjadi prioriti teratas, malahan faktor penentu dasar-dasar lain.
–Setiap rakyat dilindungi dan dipenuhi haknya untuk berjaya. Rakyat bebas menjalankan aktiviti-aktiviti yang tidak berlawanan dengan agama, budaya dan undang-undang untuk menjadi kaya. Mereka yang memerlukan bantuan mesti difasilitasi dengan langkah afirmatif.
–Menyusun-semula lapisan pendapatan rakyat. Nilai semula susunan T20, M40 dan B40 kerana wujudnya ekonomi informal dan hamba abdi moden yang tidak dikira.
–Menyelesaikan kemiskinan pendidikan. Selesaikan kemiskinan pendidikan, iaitu ramainya pelajar sekolah rendah tidak menguasai literasi dan numerasi.
–Konfigurasi Baru Ekonomi Rakyat. Bangunkan konfigurasi baru ekonomi rakyat di mana wujud kerjasama ekonomi antara semua rakyat tanpa mengira kaum. Tetapi, hari ini, Melayu-Bumiputera masih perlu difasilitasi.
–Kekayaan negara mencerminkan kekayaan rakyat. Negara kaya tidak bermakna sekiranya rakyat miskin. Pastikan kekayaan negara mencerminkan pemilikan rakyat.
–Negara makmur berimbang. Malaysia perlu maju dengan seimbang dalam keseluruhan sektor, bidang, kawasan, kaum dan golongan.
–Pembangunan mampan. Tiada sumber diperah sehingga hasilnya habis dalam masa yang singkat. Sumber-sumber baru perlu diteroka.
–Pembangunan sesuai alam sekitar. Manusia perlu hidup harmoni dengan alam. Pembangunan tidak boleh keterlaluan sehingga merosakkan alam.
–Pembangunan selari keperluan sebenar. Utamakan keperluan rakyat, bukannya keperluan korporat, GLC, pembuat dasar atau politik. Banyak dana dibazirkan untuk projek-projek yang menjadi gajah putih.
–Teknologi serasi rakyat. Negara memerlukan teknologi terbaik yang dioperasi rakyat, bukannya orang asing. Teknologi serasi rakyat membolehkan negara berjaya. Contohnya, teknologi ketenteraan Rasulullah dan Vietnam mengalahkan tentera-tentera superior.
–Membesarkan kek ekonomi. Negara lebih maju sekiranya kek ekonomi dibesarkan dengan mengoptimum sumber-sumber sedia ada dan meneroka kekayaan-kekayaan baru.
–Memperbaharui dasar-dasar dan prioriti. Wujudkan dasar-dasar fiskal, perniagaan dan pertumbuhan yang kondusif. Antaranya, fiskal federalisme serta timbal-balik yang sistematik antara persekutuan dan negeri-negeri.
–Paradigma pengeluaran untuk eksport. Wujudkan paradigma baru pengeluaran, iaitu untuk eksport. Ia memotivasi peningkatan mutu dan penurunan harga.
–Kerangka Pembangunan Berwawasan. Bangunkan haluan baru, iaitu Ekonomi Berwawasan. Ia terdiri daripada tiga sendi: matlamat jelas, memilih sumber ekonomi yang menjadi paksi, dan sektor awam (yang diperbaharui) menjadi peneraju pelaksanaannya.
–Pengagihan hasil-hasil secara cekap, telus dan saksama. Setiap sen yang diperuntukkan mesti sampai kepada rakyat. Kos sistem penyampaian hendaklah munasabah dan tidak diambil kesempatan.
Tonggak ketiga (terakhir), ‘Tadbir Urus Berperikemanusiaan’ akan dibicarakan Jumaat depan.
Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota dan mantan Menteri Luar Negeri. Rencana ini telah disirakn di Sinar Harian, 15 Mei 26
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.