
KUALA LUMPUR | 21 Ogos 26 – Wartawan dan pengarang tidak seharusnya terlalu selesa dengan layanan kerajaan sehingga mengabaikan prinsip kewartawanan, kata wartawan veteran, A Kadir Jasin.
Beliau berkata kebimbangan itu timbul susulan kenyataan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengenai layanan kerajaan terhadap media termasuk penyediaan kerusi urut di pusat media.
Menurut A Kadir, sama ada kenyataan Fahmi itu dibuat secara serius, berseloroh atau terlepas cakap, wartawan tidak sepatutnya berasa terhutang budi sehingga hilang keberanian untuk mengkritik kerajaan.
Beliau mengingatkan bahawa tugas media profesional bukan sekadar mengejar kepantasan, tetapi melaporkan fakta yang sah dan tepat serta memberikan analisis yang membantu masyarakat memahami sesuatu isu.
“Kalau wartawan dan pengarang leka atau berasa terhutang budi kepada Kerajaan Madani dan Ahmad Fahmi kerana bagi kerusi urut, susahlah hendak tulis kupasan yang tajam dan mendalam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
A Kadir turut membandingkan keadaan semasa dengan era ketika tokoh-tokoh reformasi menjadi pembangkang, apabila media berani berdepan kerajaan sehingga ada akhbar dan platform yang dikenakan tindakan.
Beliau mempersoalkan sama ada media hari ini masih mempunyai keberanian yang sama selepas kerajaan yang pernah mengkritik kawalan terhadap media kini menjadi pemerintah.
“Cabaran terhadap wartawan dan pengarang hari ini bukan berlawan dengan media sosial mengenai kepantasan. Tugas mereka adalah melaporkan fakta yang sah dan tepat dengan disusuli oleh analisis yang memberi kefahaman terhadap berita,” katanya.
Menurutnya, persoalan sebenar bukanlah mengenai kerusi urut, tetapi sama ada keselesaan yang diberikan kerajaan boleh menjejaskan kebebasan dan ketajaman media dalam menjalankan fungsi semak dan imbang. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.