
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 26 — Ketua Penerangan Bersatu Bahagian Masjid Tanah, Mohd Rodzi Mat Rejab atau pemilik akaun Facebook Chey Rodzi memohon maaf kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung satu hantaran berkaitan Tabung Haji yang diakui boleh menimbulkan fitnah dan salah faham terhadap pemimpin berkenaan.
Permohonan maaf itu dibuat selepas Rodzi menerima surat tuntutan (LOD) daripada firma guaman yang mewakili Hamzah pada jam 12.50 pagi, 25 Ogos lalu, yang antara lain meminta hantaran berkenaan dipadam serta permohonan maaf dibuat.
Rodzi mengakui hantaran tersebut dibuat berdasarkan maklumat tanpa mendapatkan pengesahan sewajarnya, selain menggunakan gambar yang diambil daripada akaun media sosial lain.
Bagaimanapun, beliau mengakui tetap bertanggungjawab terhadap kandungan dan kenyataan yang ditulis bersama hantaran berkenaan.
“Saya mengakui bahawa posting tersebut dibuat berdasarkan maklumat tanpa mendapatkan pengesahan yang sewajarnya. Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas apa yang telah saya tulis,” katanya.
Rodzi turut memohon maaf kepada Hamzah dan mana-mana pihak yang terkesan dengan hantaran berkenaan serta menegaskan tidak mahu membuat sebarang kesimpulan yang boleh mendahului proses perundangan.
Beliau berkata segala perkara berkaitan dakwaan berkenaan diserahkan kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hamzah sebelum ini turut berkongsi kenyataan permohonan maaf tersebut menerusi akaun Facebooknya.@politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.