
KUALA LUMPUR | 31 Ogos 26 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih merupakan anggota Perikatan Nasional (PN) dari sudut undang-undang, namun secara teknikalnya parti itu bukan lagi anggota gabungan berkenaan, kata Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurut Takiyuddin, kedudukan itu susulan keputusan Bersatu untuk tidak lagi menggunakan logo PN dan sebaliknya bertanding menggunakan logo parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
“Dia masih ahli lagi dari segi legal, tetapi secara teknikalnya mereka bukan ahli PN.
“Sebab dia dah tak nak guna PN dan dia guna logo dia sendiri,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Beliau berkata keputusan Bersatu itu menunjukkan parti berkenaan tidak lagi mahu bergerak bersama PN, berbeza dengan PRN Johor sebelum ini apabila Bersatu masih menggunakan logo PN.
“Kalau dia tak guna logo dia sendiri, mungkin kita akan bagi dia guna PN,” katanya.
Takiyuddin berkata, perkembangan itu turut menunjukkan bahawa persefahaman politik antara Bersatu dan PAS sudah berakhir selepas PAS menghentikan hubungan politik dengan Bersatu.
“Tidak ada lagi persefahaman politik antara PAS dan Bersatu. Ia sudah berakhir,” katanya.
Bagaimanapun, Takiyuddin berkata PN belum membuat keputusan untuk mengambil tindakan rasmi bagi menggantung atau mengeluarkan Bersatu daripada gabungan itu.
Kedudukan Bersatu dalam PN kini menjadi persoalan apabila parti tersebut masih kekal sebagai anggota dari sudut perundangan, tetapi tidak lagi menggunakan identiti PN dan tidak mempunyai persefahaman politik dengan PAS.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz sebelum ini turut mempersoalkan tafsiran “secara teknikal” tersebut dan meminta penjelasan mengenai asas PN menentukan kedudukan parti dalam gabungan itu. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.