
JOHOR BAHRU| 1 Sep 26 – Parti Wawasan Negara (WAWASAN) mengajak masyarakat Johor yang berminat memahami perjuangan parti itu supaya mendekati kepimpinan dan Ahli Jawatankuasa bahagian bagi mendapatkan penjelasan secara terus.
Penyelaras WAWASAN Negeri Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, pendekatan itu penting khususnya dalam memperkenalkan WAWASAN kepada masyarakat di Johor Bahru yang terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang.
“Kepada bangsa Johor yang berminat nak memahami perjuangan kami, bolehlah dekati mana-mana Ahli Jawatankuasa kami,” katanya kepada Politiko.
Menurut Zulkifli, Bahagian Johor Bahru merupakan kawasan yang dihuni masyarakat daripada pelbagai bangsa, kaum dan latar belakang, sekali gus menjadikannya ruang penting untuk WAWASAN membawa gagasan penyatuan.
“Sudah tentu Parti Wawasan Negara adalah satu wadah penyatuan yang boleh memperjuangkan semua rakyat.
“Saya yakin Wawasan diterima baik semua rakyat dan anak-anak muda,” katanya.
Beliau pada masa sama merakamkan penghargaan kepada Presiden serta kepimpinan tertinggi WAWASAN atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui Bahagian Johor Bahru.
Katanya, amanah tersebut akan digunakan untuk memperkukuhkan gerak kerja parti dan mendekatkan WAWASAN dengan masyarakat setempat.
Zulkifli berkata, masyarakat tidak seharusnya membuat penilaian terhadap perjuangan WAWASAN hanya berdasarkan persepsi, sebaliknya boleh mendapatkan maklumat secara langsung daripada kepimpinan dan ahli parti di peringkat bahagian.
Beliau yakin pendekatan mendekati masyarakat secara terus dapat membantu menjelaskan matlamat dan perjuangan WAWASAN, khususnya kepada golongan muda di Johor.
Parti Wawasan Negara baru-baru ini menyerahkan watikah lantikan kepada 160 ketua-ketua bahagian dari seluruh negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.