“Jangan sabotaj kerajaan sendiri” – Fadhli Gesa Anwar Jelaskan Tunggakan Bayaran KKDW

KUALA LUMPUR | 2 Sep 26– Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menggesa Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberikan penjelasan terbuka berhubung tunggakan bayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Fadhli berkata pendedahan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai tunggakan berkenaan merupakan perkara mengejutkan kerana isu itu kini disebut secara terbuka oleh seorang anggota Kabinet sendiri.

Menurutnya, keadaan tersebut menimbulkan persoalan sama ada kerajaan sedang berdepan masalah kewangan yang serius sehingga menjejaskan aliran tunai atau terdapat unsur sengaja melengah-lengahkan bayaran kepada kementerian yang dipimpin Presiden UMNO itu.

“Jangan sabotaj kerajaan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhli mendakwa kedua-dua kemungkinan tersebut membimbangkan rakyat, lebih-lebih lagi apabila tunggakan melibatkan projek KKDW yang menurutnya mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan masyarakat luar bandar.

Beliau turut mempersoalkan mengapa bayaran kepada kontraktor berkenaan masih tertangguh sekiranya kerajaan tidak berdepan masalah kewangan.

Pada masa sama, Fadhli mengaitkan isu tersebut dengan perkembangan politik selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan, dengan mendakwa kemungkinan wujud unsur gangguan terhadap kementerian yang diketuai Zahid.

Bagaimanapun, beliau tidak mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan bahawa bayaran tersebut sengaja ditangguhkan atas faktor politik.

Fadhli berkata selagi kerajaan masih mempunyai mandat, pentadbiran negara perlu berjalan dengan sempurna tanpa mengira perbezaan politik.

“Kecuali jikalau Kerajaan Madani sudah tiada minat lagi untuk mentadbir negara, serahkan kembali mandat kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyindir Anwar dengan mengungkit kenyataan Perdana Menteri sebelum PRN Johor yang mengajak rakyat menyerahkan kembali mandat kepada mereka.

Fadhli berkata mandat yang masih ada perlu digunakan untuk bekerja dengan penuh amanah demi kepentingan rakyat.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meluahkan rasa tidak puas hati terhadap isu kelewatan pembayaran kepada kontraktor yang melaksanakan projek pembangunan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Menurut beliau, kelewatan berkenaan bukan sahaja menjejaskan kelancaran projek, malah memberi tekanan serius kepada kontraktor yang sudah melaksanakan kerja dan mencapai kemajuan seperti ditetapkan dalam kontrak.

Malah, katanya, sebahagian kontraktor turut berdepan tindakan undang-undang daripada pembekal bahan, manakala subkontraktor pula mengambil tindakan menyaman kontraktor utama. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share