
KOTA BHARU | 3 Sep 26 – Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan gagasan penyatuan Melayu tidak bermaksud menolak, mengetepikan atau menafikan hak kaum lain di negara ini.
Sebaliknya, beliau berkata penyatuan tersebut perlu dilihat dalam konteks kestabilan politik dan masa depan Malaysia, dengan mengambil kira kedudukan masyarakat Melayu sebagai majoriti penduduk negara.
“Saya tegaskan dalam ucapan saya bahawa penyatuan ini bukan untuk orang Melayu sahaja. Penyatuan ini adalah untuk negara kita dan untuk masa depan negara,” katanya dalam satu sidang media selepas Muktamar Pemuda PAS, pagi ini.
Menurut beliau, penyatuan Melayu bukan bermakna hak masyarakat bukan Melayu atau bukan Islam perlu diketepikan, sebaliknya semua rakyat perlu diraikan sebagai sebahagian daripada negara.
“Penyatuan ini bukan bermaksud menepikan hak bukan Melayu atau hak bukan Islam. Mereka adalah rakyat negara kita yang perlu kita raikan bersama,” katanya.
Beliau berkata asas kepada gagasan tersebut ialah memastikan wujud kestabilan dalam masyarakat dan negara, bukannya mewujudkan permusuhan antara kaum.
Mengambil contoh sejarah kepimpinan masyarakat Arab, beliau turut memetik hadis Nabi Muhammad SAW, “Al-a’immah min Quraisy”, yang menurutnya merujuk kepada kedudukan Quraisy sebagai kaum yang paling berpengaruh pada ketika itu dalam memastikan kestabilan masyarakat.
Katanya, pengalaman Malaysia sejak merdeka juga menunjukkan bahawa kepimpinan yang berasaskan majoriti Melayu tidak semestinya bermaksud masyarakat bukan Melayu diketepikan.
Beliau berkata UMNO dan Barisan Nasional telah memimpin negara dalam tempoh yang panjang, namun masyarakat bukan Melayu tetap mempunyai hak yang diberikan dalam kerangka negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan penyatuan yang dibawa bukanlah penyatuan berasaskan fahaman ekstrem atau melampau.
Sebaliknya, ia bertujuan menghargai pengorbanan semua bangsa dalam membangunkan negara serta mengelakkan polemik yang boleh menimbulkan keraguan dan perpecahan dalam kalangan rakyat.
“Penyatuan ialah penghargaan kepada pengorbanan semua bangsa terhadap negara kita. Cuma kita menolak fahaman ekstrem yang melampau, yang menimbulkan polemik, keraguan dan masalah dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata rakyat Malaysia pada asasnya berkongsi aspirasi yang sama untuk melihat negara berada dalam keadaan stabil dan bersatu.
“Saya yakin rakyat Malaysia semuanya berhasrat kepada perkara yang sama, iaitu sebuah negara yang stabil dan bersatu,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.