
KUALA LUMPUR | 7 Sep 26 – Adakah dakwaan Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) benar, atau penafian rasmi Kedutaan AS bahawa ia pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia yang sebenarnya perlu dipersoalkan?
Persoalan itu timbul selepas Presiden PAS tersebut mendakwa wujud usaha campur tangan AS dalam politik Malaysia sekitar 2014, ketika PAS masih menjadi sebahagian daripada Pakatan Rakyat.
Dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu pada 5 September, Abdul Hadi mendakwa beberapa pemimpin PAS pernah bertemu wakil Kedutaan AS ketika lawatan Presiden AS ketika itu, Barack Obama, ke Malaysia.
Menurutnya, wakil AS ketika itu bertanyakan sama ada PAS mempunyai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan BN dan mengambil alih pentadbiran negara, malah didakwa menawarkan bantuan kepada PAS.
Abdul Hadi turut mendakwa beliau kemudiannya diminta bertemu Duta AS bersama bekas Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Dalam pertemuan itu, katanya, Duta AS bertanyakan siapa calon Perdana Menteri yang akan dicadangkan PAS sekiranya berlaku perubahan kerajaan.
Dakwaan tersebut bagaimanapun mendapat penafian tegas daripada Kedutaan AS.
Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS di Kuala Lumpur, David H. Gamble Jr., berkata Amerika Syarikat tidak pernah cuba menentukan kepimpinan politik Malaysia dan menyifatkan dakwaan sebaliknya sebagai palsu.
Namun, persoalan tidak berakhir dengan penafian tersebut. Ini kerana Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mengesahkan bahawa pertemuan antara pemimpin PAS dan wakil Kedutaan AS memang pernah berlaku.
Takiyuddin turut mengakui wakil Kedutaan AS pernah bertanya sama ada PAS mempunyai rancangan untuk menjatuhkan kerajaan BN pada ketika itu.
Bagaimanapun, menurut Takiyuddin, PAS tidak memberikan sebarang keputusan dan menegaskan parti itu tidak mengharapkan campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia. Di sinilah persoalan utama mula muncul.
Jika pertemuan itu tidak pernah berlaku, mengapa Takiyuddin mengesahkan ia berlaku?Dan jika pertemuan itu memang berlaku serta wakil AS bertanyakan mengenai kemungkinan PAS menjatuhkan kerajaan, apakah sebenarnya konteks pertanyaan tersebut?
Adakah ia sekadar pertanyaan diplomatik untuk memahami perkembangan politik Malaysia, atau benar-benar satu usaha menawarkan bantuan bagi menukar kerajaan seperti yang didakwa Abdul Hadi?
Perbezaan antara kedua-dua versi itu cukup besar. Maka, isu sebenar sekarang bukan lagi sama ada pertemuan itu pernah berlaku. Sebaliknya, persoalannya ialah apa yang sebenarnya berlaku di sebalik pertemuan tersebut.
Siapa wakil AS yang hadir? Bilakah pertemuan itu berlangsung? Siapa yang mengatur pertemuan? Apakah soalan sebenar yang dikemukakan? Adakah perkataan atau tawaran untuk “membantu” menjatuhkan kerajaan benar-benar digunakan?
Dan paling penting, adakah wujud sebarang rekod, komunikasi atau saksi lain yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut?
Persoalan itu semakin penting selepas Timbalan Setiausaha Agung PKR, G. Sivamalar, meminta Abdul Hadi mengemukakan bukti berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau berkata dakwaan sebesar itu tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan kerana ia menyentuh soal campur tangan asing, keselamatan nasional dan kedaulatan negara.
Malah, tiga laporan polis telah dibuat pada 6 September susulan dakwaan Abdul Hadi bahawa AS pernah menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia pada 2014.
Ini bermakna dakwaan tersebut kini bukan lagi sekadar pertikaian politik antara PAS dan pihak lain.
Ia sudah menjadi persoalan yang mempunyai implikasi lebih luas terhadap hubungan diplomatik, keselamatan negara dan persoalan campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia.
Jika dakwaan Abdul Hadi benar, ia merupakan dakwaan yang amat serius dan wajar disokong dengan bukti yang kukuh.
Namun, jika penafian Kedutaan AS benar, persoalan yang perlu dijawab pula ialah mengapa pertemuan tersebut dan kandungannya digambarkan sedemikian rupa. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.