Wawasan Negara Tawar Muafakat Baharu Untuk Malaysia Berbilang Kaum

KUALA LUMPUR | 7 Sep 26 – Wawasan Negara berhasrat menawarkan permuafakatan nasional baharu dalam usaha membina Malaysia berbilang kaum yang lebih adil, saksama dan berperikemanusiaan.

Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Richie Huan, berkata pendekatan itu memberi ruang kepada semua pihak tanpa mengira kaum dan wilayah untuk menyuarakan pandangan secara bermakna sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.

Menurutnya, tawaran baharu berkenaan turut memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi yang lebih baik serta pentadbiran yang tidak membebankan rakyat.

“Peluang itu ada jika rakyat memahami nilai yang kita bawa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Forum Politiko bertajuk “Masa Depan Bukan Melayu Dalam Naratif PN-BN” yang dikendalikan penganalisis politik, Dr Armin Baniaz Pahamin, di sini hari ini.

Forum berkenaan turut menampilkan Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong, dan Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Lau Zhe Wei, sebagai panel.

Richie berkata, bagi menjayakan usaha berkenaan, penyertaan pemimpin bukan Melayu dalam sesebuah gabungan politik tidak seharusnya bersifat simbolik semata-mata, sebaliknya perlu disertai pengaruh serta ruang sebenar dalam proses membuat keputusan pentadbiran.

Menurutnya, masyarakat bukan Melayu tidak mahu terus dianggap sekadar “statistik” selepas pilihan raya, sebaliknya mahu diiktiraf sebagai rakan kongsi sebenar dalam menentukan hala tuju negara.

Sehubungan itu, beliau menyeru sokongan dan penyertaan lebih besar daripada masyarakat Cina serta kaum lain bagi memperkukuh suara bersama dalam gabungan berkenaan demi kepentingan semua lapisan masyarakat. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share