UMMAH Pertahan Taki, Tapi Ingatkan Syurga Bukan Hak Parti Politik

KUALA LUMPUR | 8 Sep 26 – Pertubuhan Gabungan Ummah Malaysia (UMMAH) mempertahankan kenyataan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berhubung ganjaran kepada mereka yang menyokong perjuangan Islam, namun menegaskan bahawa syurga tetap hak mutlak Allah SWT dan bukan hak mana-mana parti politik.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, kenyataan Takiyuddin bahawa menyokong perjuangan Islam yang dibawa PAS dan bertepatan dengan al-Quran serta Sunnah akan mendapat ganjaran adalah benar dan tidak wajar dimanipulasikan.

Menurutnya, UMMAH berpandangan bahawa setiap perjuangan menegakkan syariat Islam, memartabatkan al-Quran dan Sunnah serta mempertahankan kepentingan umat Islam merupakan tuntutan agama yang mempunyai ganjaran besar di sisi Allah SWT.

“Namun begitu, UMMAH ingin mengingatkan bahawa ganjaran syurga itu adalah hak mutlak Allah SWT. Tiada mana-mana individu, parti politik mahupun pertubuhan yang boleh menjamin syurga kepada mana-mana penyokong.

“Syurga dan neraka adalah urusan Allah yang Maha Adil dan Maha Mengetahui niat di hati setiap hamba-Nya,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Zai mengingatkan semua pihak yang memperjuangkan Islam, sama ada parti politik, pertubuhan dakwah mahupun individu, supaya menjauhi ucapan atau ulasan yang boleh disalah tafsir sebagai usaha “menjual atau menunggang agama” demi kepentingan pihak tertentu.

Beliau berkata, perjuangan Islam juga tidak seharusnya dilihat sebagai hak eksklusif mana-mana parti politik, sebaliknya perlu menjadi agenda yang menyatukan umat Islam.

“Fokuskan kepada penyatuan ummah dan bukannya memperbesarkan titik perpecahan. Perjuangan Islam adalah milik semua, bukan eksklusif kepada mana-mana pihak tertentu,” katanya.

Mohd Zai turut mengajak seluruh umat Islam menyokong mana-mana usaha yang benar-benar memperjuangkan Islam tanpa mengira parti, pertubuhan mahupun individu.

Katanya, sokongan tersebut hendaklah didasari ilmu, kefahaman dan keikhlasan kerana Allah SWT, bukannya kerana janji dunia atau kepentingan tertentu.

Sehubungan itu, UMMAH berharap tiada pihak mengambil kesempatan mempolimikkan kenyataan Takiyuddin sehingga mengelirukan umat Islam demi kepentingan politik pihak tertentu.

Mohd Zai berkata semua pemimpin Islam perlu berhemah dalam memberikan pandangan, menjaga adab dakwah dan tidak menjadikan agama sebagai punca pertelingkahan.

“UMMAH menyeru semua pihak agar tidak mengambil kesempatan mengeruhkan lagi keadaan, tetapi bersama-sama memperkukuh saf, meninggalkan segala pertelingkahan dan membawa agenda Islam yang besar dan syumul untuk kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Ahli Parlimen Bersatu Hantar LOD Kepada PM

Dalam sidang medianya, Rosol mendakwa bahawa beberapa soalan penting berhubung perjanjian tersebut tidak dijawab secara menyeluruh dalam sesi Dewan Rakyat, dan beliau mempunyai tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk memastikan ketelusan tindakan kerajaan.
Read More
Total
0
Share