
KUALA LUMPUR | 8 Sep 26 – “AirAsia berapa pula?”
Itu persoalan yang dibangkitkan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, susulan tindakan Kementerian Kewangan (MOF) melantik Alton Aviation Consultancy untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia.
Ahmad Fadhli mempersoalkan mengapa kerajaan perlu melantik perunding bagi menilai keperluan pembiayaan sebuah syarikat swasta seperti AirAsia yang sememangnya mempunyai pengurusan, juruaudit dan penasihat kewangan sendiri.
“Kenapa kerajaan perlu lantik Alton? AirAsia syarikat swasta. Tentulah mereka ada pengurusan, juruaudit dan penasihat kewangan sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut laporan Reuters yang diterbitkan The Star, MOF melantik Alton untuk menilai keperluan pembiayaan AirAsia ketika syarikat itu berdepan tekanan kewangan dan sedang berusaha mendapatkan dana baharu.
Laporan itu turut menyebut kerajaan sedang menilai bentuk sokongan yang mungkin boleh diberikan kepada AirAsia, walaupun setakat ini tiada rancangan bailout atau jaminan kerajaan diumumkan.
Perkara itu mendorong Ahmad Fadhli mempersoalkan apakah sebenarnya skop kajian yang diberikan kepada Alton, selain siapa yang menanggung kos perunding tersebut dan bagaimana pelantikannya dibuat.
“Berapa bayaran kepada Alton? Siapa yang bayar, AirAsia atau kerajaan? Kalau kerajaan yang bayar, berapa nilainya dan bagaimana Alton dilantik? Tender atau lantikan terus?” soalnya.
Ahmad Fadhli turut mengaitkan perkembangan itu dengan dua kes terdahulu yang menurutnya menunjukkan persoalan lebih besar mengenai campur tangan kerajaan dalam syarikat korporat.
Beliau merujuk kepada Ventris Energy Bhd, dahulunya Sapura Energy, yang menerima komitmen RM1.1 bilion melalui instrumen redeemable convertible loan stocks (RCLS) oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd, sebuah entiti di bawah Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Beliau turut membangkitkan isu Datasonic, selepas kerajaan sebelum ini menilai kemungkinan pengambilalihan unit Datasonic Technologies dengan nilai indikatif sekitar RM7.5 bilion.
Bagaimanapun, nilai RM7.5 bilion itu merupakan penilaian indikatif dan bukan jumlah yang telah dibayar kerajaan, manakala cadangan pengambilalihan tersebut akhirnya tidak diteruskan.
“Ventris RM1.1 bilion. Datasonic RM7.5 bilion. AirAsia berapa pula?” katanya.
Menurut Ahmad Fadhli, persoalan utama ialah sama ada kerajaan sedang mengkaji penggunaan wang atau jaminan kerajaan bagi membantu AirAsia.
“Kalau memang tak ada, kata sahaja tak ada. Jangan masa untung syarikat punya, masa rugi rakyat pula kena bayar,” katanya.
AirAsia kini sedang berusaha mendapatkan sehingga AS$1 bilion daripada pasaran hutang antarabangsa selain RM700 juta kemudahan kredit tempatan, dengan syarikat menyatakan pembiayaan itu terutama untuk penstrukturan semula hutang.
Pada masa sama, AirAsia mencatat kerugian bersih sekitar RM831 juta bagi suku kedua 2026 dan mempunyai liabiliti semasa RM18.4 bilion berbanding tunai serta baki bank sekitar RM954 juta.
Buat masa ini, belum ada keputusan kerajaan untuk memberikan bailout atau jaminan kepada AirAsia.
Namun bagi Ahmad Fadhli, tindakan MOF melantik perunding sudah cukup untuk menimbulkan persoalan yang perlu dijawab secara terbuka mengenai apa sebenarnya yang sedang dikaji kerajaan, siapa yang membiayainya dan sejauh mana wang rakyat bakal terdedah kepada risiko sekiranya sokongan akhirnya dipertimbangkan? @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.