
KUALA LUMPUR | 15 Sep 26 – Ketua Pemuda (Peanaja) Nasional Parti Wawasan Negara (Wawasan), Muhammad Faiz Rahmad, menggesa seorang perwakilan UMNO yang didakwa menjadikan kisah paderi dan petikan daripada Bible sebagai bahan jenaka ketika perbahasan Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini supaya tampil memohon maaf secara terbuka.
Faiz berkata kebebasan bersuara tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melanggar batas sensitiviti keagamaan, khususnya dalam sebuah negara majmuk yang menjadikan sikap saling menghormati sebagai asas keharmonian masyarakat.
Menurutnya, tindakan menjadikan perkara berkaitan agama sebagai bahan gurauan boleh menjejaskan asas kehidupan masyarakat berbilang agama di Malaysia.
“Bayangkan jika ada mana-mana pihak yang melakukan perkara yang sama terhadap Islam. Bayangkan jika tokoh agama Islam atau umat Islam dijadikan bahan gurauan dalam keadaan yang sama, sudah tentu akan timbul rasa tersinggung dan marah daripada masyarakat Islam seluruhnya,” katanya dalam kenyataan bertarikh 14 September.
Faiz berkata prinsip menghormati sensitiviti agama perlu diterapkan secara timbal balik tanpa mengira agama atau kelompok masyarakat.
“Seperti mana kita mahu orang lain hormati kita, kita juga mesti menghormatinya juga,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan perwakilan UMNO berkenaan wajar tampil ke hadapan dan memohon maaf secara terbuka bagi meredakan ketegangan serta menunjukkan penghormatan terhadap asas kehidupan masyarakat majmuk.
Faiz menegaskan nukilan berkaitan agama tidak sepatutnya dijadikan bahan sindiran atau hiburan, sebaliknya setiap lontaran pandangan perlu disampaikan dengan adab dan sifat hormat kepada semua pihak.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2026 yang lalu, Noorazli menceritakan jenaka itu ketika memuji kebijaksanaan politik Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi semasa perhimpunan agung parti itu.
Jenaka itu menggambarkan seorang paderi menyentuh paha seorang biarawati ketika memandu dan didakwa mengaitkan bahagian penamatnya dengan Mazmur 129. Ungkapan tersebut mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO Malayisia. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.