
KUALA LUMPUR | 18 Sep 26 – Keadaan fizikal gajah Kelat yang didakwa susut secara mendadak selepas dipindahkan ke Zoo Tennoji, Jepun, mencetuskan kebimbangan dan mendorong desakan supaya pemeriksaan kesihatan menyeluruh terhadap tiga ekor gajah DAK dilakukan segera.
Ketua Penerangan Pemuda MCA merangkap Pengarah Komunikasi Pemuda BN, Neow Choo Seong, berkata Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) wajar menghantar pasukan veterinar bebas Malaysia ke Zoo Tennoji bagi memeriksa Dara, Amoi dan Kelat.
Menurutnya, pemeriksaan itu perlu dilakukan secara terus tanpa sekatan bagi menilai berat badan, keadaan tubuh, kulit, mata, kaki dan kuku ketiga-tiga gajah berkenaan, khususnya bagi mengesahkan dakwaan bahawa Kelat kini semakin kurus berbanding ketika dibawa dari Malaysia.
“Sehubungan itu, saya menggesa MPT serta NRES melaksanakan pemeriksaan kesihatan mandatori secara menyeluruh terhadap Dara, Amoi dan Kelat dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan semalam.
Neow turut mencadangkan pemeriksaan darah lengkap, paras hormon kortisol serta ujian parasit bagi menilai keadaan kesihatan dan tahap tekanan Kelat, termasuk memastikan dakwaan mengenai keadaan musth yang dialaminya tidak berpunca daripada penyakit atau tekanan kronik.
Beliau turut mahu kebajikan persekitaran DAK dinilai, termasuk keluasan tempat kurungan, keadaan lantai, diet harian dan tempoh pengasingan.
Neow berkata hasil pemeriksaan perlu didedahkan kepada umum, termasuk laporan, video dan keputusan makmal, selain dinilai oleh pakar gajah bebas antarabangsa.
Pada masa sama, beliau menggesa MPT dan NRES menyemak semula perjanjian penempatan DAK dengan Zoo Tennoji, khususnya klausa berkaitan pemulangan semula atau repatriasi serta klausa penamatan perjanjian.
“Jangan sembunyi di sebalik kerahsiaan kontrak,” katanya.
Neow turut mengingatkan bahawa NRES sebelum ini dilaporkan berjanji pada 29 April lalu untuk mengaktifkan proses membawa pulang DAK sekiranya terdapat asas yang menunjukkan keadaan kebajikan mereka terjejas.
Beliau juga meminta perkembangan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan Op DAK diberikan penjelasan kepada umum, termasuk status siasatan selepas empat individu dilaporkan ditahan sebelum ini.
DAK merujuk kepada Dara, Amoi dan Kelat yang dipindahkan ke Zoo Tennoji pada 11 Mac 2026.
Neow berkata isu kebajikan haiwan tidak seharusnya dikompromi atas alasan diplomatik atau birokrasi, sambil menegaskan bahawa tindakan segera diperlukan bagi memastikan kebajikan ketiga-tiga gajah berkenaan terus terpelihara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.