
KUALA LUMPUR | 19 Sep 26 – Timbalan Ketua Penerangan MCA, Neow Choo Seong, menegur Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung beberapa kesalahan ejaan dan penggunaan bahasa dalam kenyataan rasmi gabungan itu mengenai pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Neow berkata beliau menghormati pendirian PH menerusi kenyataan rasmi berkenaan, namun terkejut apabila mendapati kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden PH mengandungi beberapa kesalahan ejaan serta kelemahan dari segi struktur ayat.
Menurutnya, sebagai sebuah gabungan politik yang menerajui Kerajaan Persekutuan, kenyataan rasmi yang membawa nama Majlis Presiden sewajarnya disemak dan diteliti dengan lebih rapi sebelum diedarkan kepada umum.
Antara pembetulan yang disenaraikan Neow ialah penggunaan “di sabit” yang sepatutnya “disabitkan”, “membenteras” kepada “membanteras” serta “penyelewangan” kepada “penyelewengan”.
Beliau turut membetulkan frasa “nasihat dari Peguam Negara” kepada “nasihat daripada Peguam Negara”, selain “membersihkan negara dari unsur-unsur rasuah” kepada “membersihkan negara daripada unsur-unsur rasuah”.
Semakan Politiko mendapati lima daripada tujuh pembetulan yang disenaraikan Neow mempunyai asas yang tepat dari segi penggunaan bahasa, termasuk kesalahan ejaan dan penggunaan kata sendi nama.
Bagaimanapun, dua pembetulan lain memerlukan penelitian berdasarkan konteks ayat dan tidak boleh dianggap sebagai kesalahan bahasa secara mutlak.
Antaranya ialah cadangan menukar “berazam akan meneruskan usaha” kepada “berazam untuk meneruskan usaha”. Bentuk “berazam untuk” memang digunakan dalam rujukan bahasa DBP, namun penggunaan “berazam akan” tidak semestinya merupakan kesalahan tatabahasa.
Begitu juga teguran terhadap penggunaan perkataan “Dan” pada awal ayat. Perkara itu lebih berkaitan struktur dan kesinambungan ayat serta perlu dilihat berdasarkan ayat penuh, dan bukannya perkataan “Dan” secara bersendirian.
Dalam kenyataan yang sama, Neow berkata teguran tersebut dibuat kerana kenyataan berkenaan membawa nama Majlis Presiden PH yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Saya mengambil maklum dan menghormati pendirian Pakatan Harapan (PH) menerusi kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Majlis Presiden PH berhubung pengampunan bersyarat yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Namun, beliau berkata kualiti bahasa dalam kenyataan rasmi kerajaan dan gabungan politik yang menerajui pentadbiran negara wajar diberikan perhatian lebih serius sebelum sesuatu kenyataan diedarkan kepada umum. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.