
KUALA LUMPUR | 24 Sep 26 – Jika pendaftaran Perikatan Nasional (PN) benar-benar dibatalkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) selepas melalui proses representasi dan rayuan yang sewajarnya, gabungan itu tidak lagi boleh berfungsi atau bertanding menggunakan nama serta lambang PN.
Penganalisis Politik Universiti Malaya, Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, keadaan itu boleh membawa kepada sekurang-kurangnya empat senario politik baharu.
Menurut beliau, parti-parti komponen seperti Bersatu, PAS dan Wawasan perlu membuat keputusan serta rundingan kerusi secara berasingan sekiranya mahu bertanding menggunakan lambang masing-masing.
Katanya, keadaan itu berpotensi melemahkan kekuatan jenama dan penyelarasan jentera yang sebelum ini berada di bawah PN.
Senario kedua, PAS mungkin bergerak lebih autonomi dengan memperkukuh rundingan dua hala bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN), atau bertanding secara bersendirian di kerusi yang disasarkan.
Bagi Bersatu pula, Dr Mohammad Tawfik berkata parti itu berkemungkinan mencari pakatan alternatif, termasuk merealisasikan usaha kerjasama pilihan raya dengan Pakatan Harapan (PH) melalui model seperti ‘PH Plus’ bagi mengelakkan pertandingan banyak penjuru.
“Namun saya lihat rundingan ini sensitif kerana melibatkan penerimaan akar umbi PH dan isu agihan kerusi,” katanya.
Senario keempat ialah pertembungan pelbagai penjuru yang lebih besar sekiranya tiada penyelarasan antara parti-parti berkenaan.
Menurut beliau, BN berpotensi mendapat manfaat apabila undi penentang kerajaan berpecah antara PAS, Bersatu, Wawasan, PH dan calon bebas.
“Kita kena sedar bahawa dalam sistem pilihan raya di Malaysia, peralihan kecil undi pun boleh menentukan kemenangan di kerusi marginal,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.