Peguam Cadang Tribunal Diraja, Isytihar Darurat Sementara, Selesaikan Krisis Adat

KUALA LUMPUR | 27 Sep 26 – Peguam kanan, Haniff Khatri mencadangkan supaya satu langkah sementara termasuk pengisytiharan darurat dipertimbangkan bagi memastikan urusan pentadbiran Negeri Sembilan tidak lumpuh sementara kemelut berkaitan kedudukan institusi diraja diselesaikan.

Menurut Haniff, isu pelucutan 10 Exco dan kedudukan Menteri Besar kini berpotensi menimbulkan masalah pentadbiran sekiranya tiada penyelesaian sementara.

Beliau berkata keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk tidak membatalkan pelantikan Menteri Besar boleh difahami dari sudut mengelakkan pembubaran Dewan Undangan Negeri.

“Tak masuk akal lah yang Tuanku nak buat satu perkara yang akan menyebabkan pembubaran Dewan Undangan Negeri. So dia maintain dulu Menteri Besar. So dia letak beban tu balikkan Menteri Besar,” katanya kepada Politiko.

Menurut Haniff, keadaan itu bermakna Menteri Besar kini berdepan persoalan sama ada mahu melantik semula Exco atau sebaliknya.

“Sekarang ni adakah Menteri Besar nak lantik? Ini soal politik sama ada dia nak akur atau tidak,” katanya.

Beliau berkata sekiranya Menteri Besar tidak melantik semula Exco, terutama atas pendirian tidak mahu mengiktiraf kedudukan Yang di-Pertuan Besar yang dipertikaikan, keadaan itu boleh menyebabkan pentadbiran negeri terus terganggu.

“Kalau dia tak lantik, dan seandainya sekarang pun tanpa Exco yang wujud, urus tadbir Negeri Sembilan dah paralisis dah, dah lumpuh dah,” katanya.

Haniff berkata selagi isu berkaitan undang-undang dan kedudukan Yang di-Pertuan Besar belum diselesaikan, kerajaan negeri memerlukan satu mekanisme sementara bagi memastikan urusan harian rakyat dapat diteruskan.

Beliau mencadangkan Majlis Raja-Raja memainkan peranan dalam menyelesaikan kemelut tersebut, termasuk melalui satu tribunal diraja.

“Pihak yang patut ambil tanggungjawab adalah Majlis Raja-Raja,” katanya.

Namun, Haniff mengakui proses itu akan mengambil masa kerana memerlukan penubuhan tribunal diraja.

“Sementara itu, sementara benda itu dibuat dia kena juga isytihar yang darurat supaya pihak pentadbir-pentadbir, penjawat awam-penjawat awam di Negeri Sembilan boleh jalankan kerja harian,” katanya.

Menurut beliau, antara urusan yang perlu terus berjalan termasuk pengeluaran lesen perniagaan serta urusan berkaitan hak milik tanah, bangunan dan rumah.

Haniff mencadangkan kuasa tertentu diberikan kepada pihak pentadbiran negeri, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri, untuk menandatangani urusan bagi pihak kerajaan sepanjang tempoh penyelesaian kemelut tersebut.

“Sehinggalah kemelut diraja diselesaikan, so itu cara dia. Dia kena gabung Majlis Raja-Raja buat tribunal diraja, gabung dengan darurat sementara,” katanya.

Beliau berkata tanpa mekanisme sementara itu, sebarang keputusan Menteri Besar berhubung pelantikan semula Exco berpotensi terus menimbulkan kebuntuan pentadbiran.

“Kalau tidak, apa sekalipun Menteri Besar bagi cadangan 10 Exco, kemudian dia buang balik ataupun dia tak bagi sebab dia tak mahu tunjuk dia akur dengan Yang Dipertuan yang diorang anggap tak sah, itu akan menjadikan kelumpuhan kepada pentadbiran Negeri Sembilan dan rakyat Negeri Sembilan yang akan sengsara sebab tak ada benda berjalan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share