
MELAKA | 30 Sep 26 — Malaysia berdepan risiko kehilangan bakat muda apabila semakin ramai anak muda memilih untuk bekerja di Singapura, manakala mereka yang mempunyai kelayakan akademik lebih tinggi pula mempunyai pilihan untuk berhijrah ke United Kingdom, Australia dan negara lain.
Ketua Penerangan Pemuda MCA yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional, Neow Choo Seong berkata keadaan itu akhirnya boleh menyebabkan negara berdepan masalah brain drain, apabila anak muda berkemahiran memilih untuk membina kerjaya dan menyumbang kepada negara lain.
Beliau berkata Singapura menjadi antara destinasi paling mudah bagi anak muda Malaysia yang mahu mencari peluang pekerjaan di luar negara.
“Lama-kelamaan, brain drain. Anak-anak muda yang berpotensi, yang ada credibility, kebolehan, mereka memilih untuk bekerja dan membantu negara lain,” katanya.
Neow berkata perkara itu tidak wajar dilihat semata-mata sebagai kesalahan golongan muda yang memilih untuk berhijrah kerana mereka mempunyai kemahiran dan mencari peluang pekerjaan yang lebih baik.
“Kita nak salahkan siapa? Kita tak boleh salahkan mereka yang mempunyai kemahiran kerana kita tidak mampu menyediakan pekerjaan yang bermaruah kepada mereka,” katanya.
Beliau berkata isu berkenaan turut perlu dilihat dalam konteks beban yang dihadapi anak muda selepas menamatkan pengajian, termasuk kewajipan membayar pinjaman pendidikan.
Neow berkata berdasarkan pengalaman peribadinya, beliau mengambil masa lebih 12 tahun untuk melangsaikan pinjaman PTPTN selepas bekerja dengan kerajaan.
“Saya kerja kerajaan, lebih 12 tahun baru saya habis bayar PTPTN. Lebih 12 tahun saya bekerja. Baru habis,” katanya.
Menurutnya, keadaan menjadi lebih mencabar bagi graduan yang menamatkan pengajian tetapi belum mempunyai pekerjaan, sedangkan mereka sudah mempunyai komitmen hutang pendidikan.
“Kamu habis belajar umur 22 tak ada kerja. Duduk dengan mak bapak. Sampai bila? Saya tak pasti. Tetapi bila kamu nak mula bayar? Kamu belum bekerja dah hutang,” katanya.
Neow turut mengaitkan keadaan ekonomi dan peluang pekerjaan dengan kualiti kepimpinan serta keupayaan kerajaan mengurus negara.
Beliau mengambil pengalaman Venezuela sebagai perbandingan, dengan berkata kelemahan pengurusan negara boleh menyebabkan rakyat terpaksa berhijrah untuk mencari kehidupan yang lebih baik.
“Keadaan ini hanya boleh diubah sekiranya kita mempunyai kepimpinan ahli-ahli politik tanpa mengira parti yang mempunyai rasa tanggungjawab terhadap rakyat dan negara,” katanya.
Kenyataan itu dibuat ketika Dialog Anak Muda & Masa Depan di Semabok Dalam, Melaka, anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka dengan kerjasama JAPERUN Duyong pada 25 September lalu. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.