Wawasan Cadang Kedah Bersedia Rebut Manfaat Minyak dan Gas Langkasuka

LANGKAWI | 2 Okt 26 — Kedah perlu membuat persediaan awal bagi memastikan negeri itu mendapat manfaat ekonomi sekiranya penerokaan minyak dan gas di Lembangan Langkasuka menghasilkan penemuan komersial, kata Naib Presiden Wawasan Negara, Datuk Omar Mustapha.

Beliau berkata persediaan itu tidak wajar menunggu sehingga penemuan minyak atau gas disahkan kerana pembangunan industri petroleum memerlukan tenaga kerja, kemudahan sokongan dan ekosistem perkhidmatan yang perlu dibangunkan lebih awal.

Menurut Omar, tiga perkara perlu diberi perhatian kerajaan negeri.

“Pertama, tapak pangkalan bekalan di tanah besar dikaji sekarang, dan laluan laut besar Langkawi dirancang sebagai sebahagian daripadanya,” katanya.

Beliau berkata kewujudan pangkalan bekalan penting kerana operasi minyak dan gas luar pesisir bukan hanya melibatkan pelantar di laut, tetapi turut memerlukan jeti, gudang, bot bekalan, bengkel, bekalan makanan dan kemudahan sokongan lain.

Omar turut mencadangkan Kedah memperkukuh latihan kemahiran bagi menyediakan tenaga kerja tempatan untuk industri berkenaan.

“Kolej komuniti dan pusat latihan kita mula melatih tukang kimpal, penyelam dan juruteknik marin dengan sijil yang diiktiraf industri minyak, sekarang, bukan selepas gas dijumpai.”

Cadangan ketiga ialah kerajaan negeri melibatkan nelayan tempatan dalam perancangan sejak peringkat awal.

“Nelayan kita diajak berunding dari sekarang, bukan diberitahu kemudian, kerana laut itu laut mereka dahulu,” katanya.

Omar berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pembangunan sektor minyak dan gas tidak mengabaikan kepentingan komuniti pesisir serta nelayan yang bergantung kepada kawasan perairan terbabit.

Lembangan Langkasuka kini menjadi kawasan penerokaan minyak dan gas di utara Semenanjung Malaysia, dengan kawasan kajian meliputi perairan berhampiran Langkawi dan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Omar mengingatkan bahawa kewujudan sumber komersial masih belum dapat dipastikan dan proses penerokaan memerlukan masa.

“Gas itu belum tentu ada. Kesediaan kita mesti ada.”

Beliau berkata Kedah tidak seharusnya hanya menunggu keputusan penerokaan sebelum merancang bagaimana peluang ekonomi, pekerjaan dan pembangunan industri dapat dimanfaatkan sekiranya sumber itu akhirnya ditemui.

Omar yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Wawasan Negara dan Ketua Bahagian Langkawi berkata perancangan tersebut perlu dibuat dengan mengambil kira kekuatan Langkawi serta keperluan pembangunan di tanah besar Kedah. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

Pemuda PAS Selangor Dakwa PH Panik Sanusi Turun Selangor

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Muhammad Faizzuddin Mohd Zai berkata, kehadiran Sanusi dalam Himpunan Jentera PAS Selangor bertemakan PAS Memimpin tidak seharusnya dilihat sekadar program politik biasa, sebaliknya sebagai isyarat bahawa PN sedang memperluas pengaruhnya di Selangor.
Read More
Total
0
Share