
NIBONG TEBAL | 4 Okt 26 – Parti Wawasan Negara melaporkan berjaya mengumpulkan lebih 1,000 ahli di Bahagian Nibong Tebal dalam tempoh tiga minggu, sekali gus menyifatkan perkembangan itu sebagai petunjuk bahawa gagasan Konsensus Nasional Baharu mula mendapat ‘traction’ dan momentum dalam kalangan masyarakat.
Ahli Majlis Tertinggi Wawasan Negara, Mohd Hamdan Mohd Sharif berkata keahlian baharu itu melibatkan masyarakat daripada pelbagai latar belakang termasuk Melayu, Cina dan India.
“Keahlian lebih 1,000 orang, ada Melayu, Cina, India – bersama-sama membuktikan agenda besar Konsensus Nasional Baharu Wawasan Negara berada di landasan yang tepat, dan sedang mendapat traction, momentum di kalangan masyarakat,” katanya.
Menurutnya, pencapaian itu hasil gerak kerja jentera Wawasan Negara di Bahagian Nibong Tebal yang merangkumi tiga kawasan DUN iaitu Sungai Acheh, Sungai Bakap dan Jawi, selain penglibatan sayap Pemuda dan Wanita.
Beliau berkata misi mengumpulkan 1,000 ahli dalam tempoh tiga minggu merupakan cabaran besar, terutama dengan pelbagai kekangan yang dihadapi jentera di lapangan.
Bagaimanapun, katanya, kerjasama berpasukan, kepercayaan serta sokongan kepimpinan Wawasan Negara di peringkat Pusat, Negeri dan Bahagian membantu menjayakan usaha tersebut.
“Paling penting jentera kawasan di setiap PDM yang bekerja keras,” katanya.
Perkembangan itu diumumkan ketika sesi penghargaan kepada Jawatankuasa Bahagian Nibong Tebal yang turut disertai pasukan daripada tiga DUN berkenaan, selain wakil bahagian-bahagian Wawasan Negara di Pulau Pinang.
Ketua Wawasan Negara Negeri Pulau Pinang, Khaliq Mehtab, Setiausaha Negeri, Azah Aziz serta Ketua Bahagian Nibong Tebal, Alan TC Oh turut hadir dalam sesi berkenaan bersama wakil Majlis Tertinggi.
Menurut Mohd Hamdan, penglibatan anggota daripada pelbagai bangsa dan agama menunjukkan usaha membina jentera parti di Nibong Tebal turut merentasi latar belakang masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Wawasan Negara, Dato’ Seri Hamzah Zainudin serta kepimpinan Pusat, Negeri dan Bahagian atas sokongan terhadap gerak kerja berkenaan.
Mohd Hamdan berkata perkembangan di Nibong Tebal perlu menjadi pemangkin kepada usaha memperluas gagasan Konsensus Nasional Baharu di kawasan lain.
“Wawasan Negara menyeru semua untuk bersama-sama mendokong gagasan ini, agenda besar untuk pembaharuan Malaysia yang lebih baik, maju, makmur dan bahagia,” katanya.
Beliau turut mengajak masyarakat yang berminat menyertai Wawasan Negara menghubungi kepimpinan bahagian di kawasan masing-masing bagi menyertai gerakan berkenaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.