Sekolah Mesti Kembali Jadi Tempat Selamat, Jangan Tunggu Tragedi Seterusnya

KUALA LUMPUR | 5 Okt 26 – Timbalan Penyelaras Wawasan Negara Negeri Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub menggesa keselamatan sekolah diberi perhatian lebih serius susulan kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang ditemukan berlumuran darah di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor.

Yadzil berkata, sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat untuk anak-anak belajar, membesar dan membentuk masa depan, justeru tragedi berkenaan tidak boleh hanya dilihat sebagai satu kes terpencil.

“Saya tidak mahu membuat sebarang kesimpulan bahawa kematian pelajar ini berpunca daripada buli kerana perkara tersebut masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Bagaimanapun, beliau berkata kejadian itu menimbulkan persoalan serius mengenai tahap keselamatan sekolah, termasuk bagaimana individu yang mempunyai niat melakukan jenayah boleh berada di kawasan sekolah.

“Sejauh mana sekolah kita benar-benar selamat daripada sebarang bentuk ancaman dan jenayah?” soalnya.

Yadzil pada masa sama menggesa kerajaan dan Kementerian Pendidikan melakukan penilaian menyeluruh terhadap sistem keselamatan, disiplin, pengurusan asrama, mekanisme aduan, pemantauan pelajar serta pendidikan sahsiah.

Beliau berkata pendidikan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut membentuk nilai adab, akhlak, empati, kasih sayang dan rasa hormat terhadap manusia lain.

“Anak-anak kita berhak untuk belajar dalam keadaan selamat. Dan keselamatan mereka bukan pilihan. Ia adalah tanggungjawab,” katanya.

Pandangan itu turut disuarakan Ketua Penerangan Wawasan Negara Negeri Selangor, Ahmad Nasir Bin Mid, yang menuntut siasatan polis dijalankan secara menyeluruh dan telus bagi mengenal pasti keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan.

Ahmad Nasir berkata persoalan mengenai tahap pengawasan dan keselamatan ketika aktiviti sekolah serta kelas tambahan perlu dijawab.

“Bagaimana seorang pelajar boleh ditemui dalam keadaan sedemikian di dalam kawasan sekolah? Apakah tahap pengawasan dan keselamatan ketika aktiviti sekolah dan kelas tambahan berlangsung?” katanya.

Beliau turut menggesa Kementerian Pendidikan melakukan audit keselamatan di sekolah seluruh negara, termasuk aspek pengawasan, kawasan berisiko, sistem kecemasan dan pengurusan aktiviti selepas waktu persekolahan.

“Jangan tunggu tragedi seterusnya sebelum keselamatan pelajar benar-benar diberikan keutamaan,” katanya.

Polis sebelum ini memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan selepas mangsa ditemukan tidak sedarkan diri dan mengalami beberapa kecederaan di kepala serta badan. Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun telah direman enam hari bagi membantu siasatan, manakala motif dan punca kejadian masih dalam siasatan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share