
PARLIMEN | 6 Okt 26 – Persoalan bagaimana rakaman CCTV keselamatan lapangan terbang boleh tersebar begitu pantas selepas insiden melibatkan barang terlarang kini turut menjadi fokus siasatan polis, kata Menteri Dalam Negeri.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden di Dewan Rakyat hari ini yang meminta jaminan Menteri Dalam Negeri supaya kejadian kebocoran maklumat dan rakaman video seumpama itu tidak berulang.
Afnan mempersoalkan bagaimana rakaman berkenaan boleh tersebar selepas insiden berlaku, sambil menegaskan bahawa jika sistem keselamatan lapangan terbang sendiri tidak dapat dikawal, ia menimbulkan persoalan terhadap keupayaan agensi berkaitan menjalankan tugas dengan pantas dan berkesan.
“Mohon jaminan Yang Berhormat Menteri dalam negeri supaya hal-hal begini tidak lagi berulang kalau kita sendiri tak boleh kawal sistem keselamatan lapangan terbang kita macam mana agensi-agensi nak buat kerja dengan terus dan cepat. Katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab perkara itu, Menteri Dalam Negeri berkata siasatan sedang dijalankan susulan aduan berhubung insiden berkenaan dan Jabatan Siasatan Jenayah akan menyerahkan laporan awal kepada Jabatan Peguam Negara hari ini.
Menurutnya, Jabatan Peguam Negara kemudiannya akan menentukan sama ada laporan berkenaan lengkap dan mempunyai asas yang mencukupi atau memerlukan tindakan serta siasatan lanjut.
Menteri itu turut bersetuju dengan persoalan Afnan berhubung bagaimana rakaman berkenaan boleh tersebar dengan begitu meluas sejurus selepas insiden.
“Saya setuju, saya tak ada perbezaan pendapat. soal pandangan yang diberikan oleh Al-Ustaz bahawa bagaimana mungkin sejurus selepas insiden itu kemudian tersebar dengan meluas video sebab setelah saya sebut dengan kota baru tadi kalaulah puncanya adalah 5,000 CCTV bermaksud ianya di bawah kawalan Malaysia Airport Holding Berhad apakah kebocoran bermula di situ atau membawa kepada secondary recording dan sebagainya…” Kata Saifuddin Nasution.
Beliau berkata aspek kebocoran dan punca penyebaran video itu kini termasuk dalam senarai semak siasatan, selain rakaman percakapan serta pengumpulan bukti-bukti lain.
Ini bermakna siasatan bukan hanya tertumpu kepada insiden asal, tetapi turut cuba menjawab persoalan lebih besar: dari mana rakaman keselamatan itu diperoleh dan bagaimana ia boleh sampai kepada umum.
Perkara itu penting kerana rakaman CCTV lapangan terbang bukan sekadar bahan video biasa, sebaliknya sebahagian daripada sistem keselamatan yang sepatutnya mempunyai kawalan terhadap akses, penyimpanan dan penyebarannya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.