
KUALA LUMPUR | 6 Okt 26 – Bukan untuk mempertahankan hak sebagai anggota Perikatan Nasional (PN), sebaliknya untuk melumpuhkan gabungan itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Memetik laporan media The Malay Mail, dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam afidavit sokongan yang difailkan bagi mencabar tindakan Pendaftar Pertubuhan (RoS) terhadap gabungan berkenaan.
Takiyuddin mendakwa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membuat aduan kepada RoS dengan niat untuk melumpuhkan PN ketika gabungan itu sedang berdepan pilihan raya yang bakal berlangsung di Melaka.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa Bersatu tidak membuat aduan tersebut untuk mempertahankan apa-apa hak yang dipunyainya selaku parti anggota PN.
“Saya sesungguhnya percaya bahawa Bersatu membuat aduan tersebut untuk melumpuhkan PN – suatu gabungan yang pada masa itu sedang ditentangnya dalam pilihan raya,” katanya seperti dipetik daripada afidavit berkenaan.
Dakwaan itu menjadi antara hujah PN dalam mencabar dua tindakan RoS iaitu notis bertarikh 22 September yang menyatakan hasrat untuk membatalkan pendaftaran PN serta perintah 23 September yang menggantung semua aktiviti gabungan berkenaan.
Menurut Takiyuddin, kemelut itu bermula selepas Bersatu tidak dijemput ke mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai.
Beliau mendakwa keputusan untuk tidak menjemput Bersatu dibuat selepas kepimpinan tertinggi parti itu pada 15 Julai memutuskan untuk bertanding menggunakan logo Bersatu sendiri dan bukannya logo PN.
Takiyuddin turut mengaitkan keputusan itu dengan kebimbangan PN terhadap kesahan keputusan mesyuarat Bersatu susulan isu kuorum dalam Majlis Pimpinan Tertinggi parti berkenaan.
Menurutnya, PN sebelum itu telah meminta penjelasan Bersatu berhubung perkara tersebut, namun tidak menerima jawapan.
Dalam hujah PN kepada mahkamah, persoalan turut timbul mengenai bidang kuasa RoS apabila badan itu mengambil tindakan terhadap PN berhubung keputusan tidak menjemput Bersatu ke mesyuarat tersebut.
Takiyuddin berkata PN sebelum ini dimaklumkan bahawa RoS mengambil pendirian tidak boleh campur tangan dalam urusan dalaman parti politik apabila menjawab aduan empat Ahli Parlimen Bersatu berkaitan isu kuorum parti itu.
Namun, katanya, RoS kemudiannya mengambil tindakan terhadap PN atas isu yang berkait dengan pentadbiran dalaman gabungan tersebut.
PN kini mencabar tindakan RoS di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memohon supaya notis serta perintah penggantungan berkenaan dibatalkan.
Antara kesan paling besar daripada penggantungan itu, menurut Takiyuddin, ialah PN tidak boleh menjalankan aktiviti politik, termasuk menggunakan nama dan simbol gabungan bagi menghadapi PRN Melaka.
Permohonan PN itu akan didengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Oktober ini di hadapan Hakim Datuk Azizan Md Arshad. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.