Rakyat Tak Bodoh: 5,000 Rohingya Itu Sebenarnya Apa? – Ketua Pemuda Wawasan

KUALA LUMPUR | 8 Okt 26 – “Rakyat tak bodoh” — demikian tegas Ketua Pemuda Nasional Parti Wawasan Negara (Wawasan), Faiz Rahmad, ketika mempersoalkan percanggahan antara pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai penerimaan semula 5,000 pelarian Rohingya oleh Myanmar pada Julai lalu dengan penjelasan terbaharunya di Dewan Rakyat.

Faiz berkata Anwar perlu tampil menjelaskan apa sebenarnya yang dipersetujui antara Malaysia dan Myanmar pada 29 Julai, selepas Perdana Menteri mengesahkan pada 6 Oktober bahawa tiada seorang pun Rohingya berada dalam kalangan 1,476 warga Myanmar yang dihantar pulang pada 29 September.

Lebih menimbulkan persoalan, kata Faiz, Anwar turut menjelaskan bahawa penghantaran pulang Rohingya masih dalam perbincangan, sedangkan sebelum ini pengumuman dibuat seolah-olah persetujuan mengenai penerimaan semula 5,000 Rohingya telah dicapai.

“Kalau benar Myanmar sudah bersetuju menerima semula 5,000 Rohingya, mengapa pada Oktober penghantaran pulang mereka masih dikatakan dalam perbincangan?” soalnya dalam kenyataan media.

Faiz turut mempersoalkan sama ada angka 5,000 itu sebenarnya merujuk kepada Rohingya secara khusus atau warga Myanmar daripada pelbagai etnik seperti yang dijelaskan kemudian.

Katanya, rakyat berhak mengetahui fakta sebenar kerana pengumuman berkaitan jumlah 5,000 itu bukan perkara kecil, lebih-lebih lagi apabila ia dibuat oleh Perdana Menteri sendiri.

“Ini bukan soal permainan angka. Ini soal kredibiliti seorang Perdana Menteri,” katanya.

Faiz berkata sekiranya pengumuman terdahulu tidak tepat, Anwar perlu mengakuinya dan memberikan pembetulan kepada rakyat, termasuk memohon maaf jika kenyataan berkenaan telah memberikan gambaran yang mengelirukan.

“Rakyat mahu jawapan. Bukan spin. Bukan alasan. Bukan cerita yang berubah-ubah,” katanya.

Terdahulu, pada 29 Julai, Anwar dilaporkan berkata secara jelas bahawa Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya dari Malaysia. FMT memetik beliau: “Sekarang ini mereka setuju ambil 5,000 orang dahulu.” Laporan itu juga menyatakan Anwar merujuk secara khusus kepada isu pelarian Rohingya.

Namun pada 6 Oktober di Dewan Rakyat, apabila ditanya mengenai penghantaran pulang warga Myanmar, Anwar memberikan gambaran yang lebih umum. Beliau berkata perjanjian Malaysia-Myanmar adalah untuk membawa pulang “rakyat Myanmar”, termasuk Arakan, Karen, Shan atau Rohingya. Beliau kemudian berkata, “dalam rekod yang kita kesan setakat ini, belum ada rakyat Rohingya yang dibawa pulang” dan isu Rohingya “masih lagi dalam perbincangan”. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share