“Asyik Berpolitik Sahaja?” – Peguam Syarie Persoal Kelewatan Perkukuh Mahkamah Syariah

KUALA LUMPUR | 5 Ogos 26 — Peguam syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, mempersoalkan kelewatan kerajaan negeri dalam memperkukuhkan kedudukan Mahkamah Syariah, meskipun lapan tahun telah berlalu sejak keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada tahun 2018.

Menurut beliau, keputusan mahkamah itu telah menimbulkan tanggapan bahawa Mahkamah Syariah hanya mempunyai kedudukan yang setara dengan tribunal awam kerana penubuhannya dibuat melalui enakmen negeri.

Sehubungan itu, katanya, usaha perlu dilakukan untuk memasukkan peruntukan berkaitan penubuhan Mahkamah Syariah ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri, selain melaksanakan pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.

“Saya telah mendesak supaya penubuhan Mahkamah Syariah dimasukkan ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk menghadap baginda-baginda Tuanku dan Menteri-menteri Besar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Zainul Rijal berkata, Terengganu merupakan negeri pertama yang mengambil langkah tersebut pada tahun 2001 menerusi pindaan terhadap Undang-Undang Tubuh Negeri melalui Perkara 49A.

Menurut beliau, langkah sama kemudiannya diambil oleh Kedah pada tahun 2024, sebelum Selangor meluluskan pindaan yang serupa menerusi persidangan Dewan Negeri Selangor semalam.

“Tahniah kepada ketiga-tiga negeri ini,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mempersoalkan mengapa hanya tiga negeri mengambil tindakan sedangkan isu berkenaan telah dibangkitkan sejak sekian lama dan turut menjadi antara syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Tertinggi yang ditubuhkan kerajaan.

“Dah lapan tahun sejak keputusan kes Indira Gandhi, hanya tiga negeri sahaja yang mengambil tindakan.”

“Saya dimaklumkan juga usul ini terdapat dalam syor Jawatankuasa Tertinggi yang ditubuhkan kerajaan.”

“Adakah kerajaan, tidak kira parti mana yang memerintah, asyik sibuk berpolitik sahaja tanpa menghiraukan kepentingan perkara ini?” katanya.

Kenyataan tersebut dijangka menghidupkan semula perbahasan mengenai kedudukan Mahkamah Syariah dalam sistem perundangan negara, khususnya selepas beberapa keputusan mahkamah yang dilihat memberi kesan kepada bidang kuasa institusi berkenaan.

Persoalan yang dibangkitkan Zainul Rijal juga menimbulkan satu tanda tanya yang lebih besar, iaitu sama ada isu berkaitan institusi Mahkamah Syariah benar-benar diberikan keutamaan, ataupun sekadar menjadi bahan perbahasan yang akan muncul semula apabila keadaan memerlukannya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share