Bekas Panglima Angkatan Tentera Bidas Perjanjian Anwar-Trump

Foto – Pejabat TDM

KUALA LUMPUR, 6 DIS 25 — Bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral (B) Tan Sri Borhan Ahmad, tampil dengan kenyataan keras berhubung tindakan kerajaan menandatangani ‘Perjanjian Anwar-Trump’ (Perjanjian Dagangan Timbal Balik – ART) dengan Amerika Syarikat, menyifatkannya sebagai langkah yang menggugat kedaulatan serta prinsip asas negara.

Dalam kenyataan mewakili para veteran Angkatan Tentera Malaysia, Borhan menyuarakan “kebimbangan mendalam” terhadap cara kerajaan berurusan dengan Washington sepanjang lawatan Presiden Donald Trump.

“Malaysia seolah-olah menyerah kedaulatan kepada kuasa asing”

Menurut Borhan, kandungan perjanjian itu memberi gambaran Malaysia telah mengorbankan kedudukan sebagai negara berdaulat.

“Perjanjian ini seolah-olah mencerminkan bahawa kita telah menyerahkan kedaulatan dan integriti negara kepada kuasa luar. Ini tidak mencerminkan kita sebagai sebuah negara merdeka,” tegasnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Malaysia kini sedang “disubjugate, dikolonikan semula atau dipaksa tunduk melalui ugutan tarif dan sekatan” dalam rundingan tersebut.

Borhan malah mengingatkan bahawa Malaysia sebagai negara ASEAN terikat kepada prinsip Zone of Peace, Freedom and Neutrality (ZOPFAN) serta dasar tidak campur tangan sesama negara serantau.

“Untuk menjunjung falsafah ini, kita mesti kekal neutral dalam segala bentuk, bukan berpihak kepada kuasa besar mana pun,” katanya.

Tegasnya lagi, kelonggaran atau kebergantungan berlebihan kepada AS hanya melemahkan kedudukan geopolitik Malaysia di rantau ini.

Kenyataan Borhan dilihat sebagai tekanan besar terhadap kerajaan untuk menjelaskan justifikasi perjanjian Anwar-Trump (ART), yang semakin dipersoal oleh pelbagai pihak termasuk tokoh politik, akademik, dan pemimpin masyarakat. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share