
KUALA LUMPUR | 18 Jun 26 — Mantan Ketua Armada BERSATU, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini berada dalam keadaan kritikal dan diambang kehancuran susulan kemelut dalaman serta konflik berpanjangan dalam Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, tindakan bekas Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menangani pertikaian antara BERSATU dan PAS ketika ini dilihat semakin merugikan parti serta gabungan pembangkang itu.
Menurut Wan Fayhsal, beliau masih menghormati Muhyiddin sebagai tokoh yang pernah membimbingnya dalam politik, namun kecewa dengan pendekatan yang diambil bekas Perdana Menteri itu dalam konflik semasa.
“Saya hormati Tan Sri Muhyiddin sebagai seorang yang membimbing saya dalam politik sebelum ini, tetapi apa yang beliau lakukan kini adalah sesuatu yang benar-benar merugikan BERSATU dan juga Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau mendakwa Muhyiddin masih bertindak seolah-olah beliau masih memegang jawatan sebagai Pengerusi PN dengan terus bertegang urat bersama PAS.
“Beliau masih lagi berkeras, bertegang urat dengan PAS, dengan kami semua seolah-olah beliau masih lagi pengerusi Perikatan Nasional,” katanya.
Mengulas kenyataan Muhyiddin dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU baru-baru ini, Wan Fayhsal berkata hujah yang dibawa bekas presiden parti itu tidak mempunyai asas yang kukuh.
“Apa yang beliau cuba hujahkan semalam dalam syarat Majlis Pilihan Tertinggi Bersatu itu sebenarnya bukan sesuatu yang ada asas pun,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkaitan hala tuju PN seharusnya diselesaikan melalui mekanisme kepimpinan gabungan itu, bukannya melalui kenyataan individu.
“Biarlah pimpinan dalam MT PN yang akan membincangkannya,” katanya.
Wan Fayhsal berkata kegagalan mengurus konflik antara BERSATU dan PAS secara rasional boleh memberi kesan besar terhadap masa depan parti tersebut.
“Saya menyatakan rasa kecewa kepada Tan Sri Muhyiddin kerana bagi saya beliau sudah tidak ada perkembangan yang rasional dalam menguruskan konflik ini,” katanya.
Beliau memberi amaran bahawa keadaan semasa menunjukkan BERSATU sedang berdepan krisis besar yang boleh menjejaskan kelangsungan parti.
“Sebenarnya BERSATU sedang diambang kehancuran,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.