Bersatu Wajar Jadikan PAT Medan Kukuhkan PN, Kata Penganalisis

KUALA LUMPUR, 5 Sep 25 — Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kali ini dilihat penting bukan kerana ada pemilihan dalaman, tetapi kerana ia menjadi medan untuk menegaskan kedudukan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebagai peneraju utama parti menjelang PRU ke-16, kata penganalisis.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomudin Bakar berkata, isu pencalonan calon perdana menteri daripada Bersatu tidak boleh dipandang remeh kerana berkait rapat dengan keyakinan akar umbi dan imej kepimpinan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN).

“Pada masa yang sama, wujud juga suara-suara, baik dari dalam mahupun luar parti, yang membayangkan keperluan tokoh alternatif untuk diangkat sebagai calon perdana menteri.

“Malah, beberapa kenyataan daripada pimpinan PAS sebelum ini juga dilihat seakan memberi isyarat ke arah semakan semula kepimpinan dan strategi PN, yang secara tersirat menunjukkan keraguan terhadap Muhyiddin sebagai “poster boy” pilihan raya,” katanya kepada politiko.my.

Hisomudin beranggapan, Bersatu perlu terlebih dahulu menegaskan kedudukan siapa calon perdana menteri mereka, kerana keputusan itu akan dibawa ke meja rundingan bersama rakan komponen PN.

“Hanya selepas persoalan itu dijernihkan, barulah proses permuafakatan dan pengukuhan kerjasama antara parti dalam PN dapat dilaksanakan dengan lebih tuntas dan strategik.

“Dalam konteks ini, usul calon perdana menteri dan usul memperkukuh kerjasama PN sebenarnya saling berkait,” katanya.

Tambahnya, isu calon perdana menteri adalah prasyarat penting untuk memastikan PN tampil dengan kepimpinan yang jelas, bersatu, dan diyakini menjelang PRU ke-16. 

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 pada 6 dan 7 September ini di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, dengan fokus utama menetapkan strategi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share