Dakwah Islam Dilindungi Perlembagaan – Peguam Syarie

KUALA LUMPUR | 20 Jun 26 – Kenyataan bahawa institusi pendidikan awam tidak boleh menjadi tempat penyebaran Islam disifatkan sebagai tafsiran yang tidak selari dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Syarie, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan telah diperuntukkan secara jelas menerusi Perkara 3(1) Perlembagaan, manakala kebebasan beragama turut dijamin dalam Perkara 11.

Menurut beliau, ruang penghayatan dan pengembangan Islam tidak boleh dinafikan dalam institusi awam selagi ia dilaksanakan secara berhemah, sukarela serta mematuhi undang-undang negara.

“Institusi pendidikan awam dalam konteks Malaysia tidak dibina atas konsep pemisahan mutlak antara agama dan negara sehingga menafikan kedudukan Islam yang diiktiraf Perlembagaan.

“Sejak sekian lama, sekolah dan universiti awam menyediakan kemudahan serta program berkaitan Islam seperti pengajian Islam, masjid, surau, kuliah dan aktiviti keagamaan yang dijalankan secara teratur,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan aktiviti berkaitan Islam dalam institusi pendidikan tidak pernah menghalang penganut agama lain mengamalkan kepercayaan masing-masing, sebaliknya mencerminkan pendekatan Malaysia yang mengiktiraf kepelbagaian agama dalam kerangka Perlembagaan.

Zainul Rijal turut menegaskan bahawa dakwah Islam tidak boleh disamakan dengan unsur paksaan atau eksploitasi kerana prinsip asasnya menekankan pendekatan berhikmah serta penghormatan terhadap kebebasan individu.

“Selagi penyebaran Islam dilakukan secara berhemah, sukarela dan mengikut undang-undang, ia merupakan hak yang berada dalam kerangka Perlembagaan,” katanya.

Beliau turut menyifatkan cubaan menggambarkan institusi pendidikan awam sebagai ruang yang dimanipulasi untuk tujuan penukaran agama sebagai dakwaan yang tidak berasas dan boleh menimbulkan salah faham antara masyarakat berbilang kaum serta agama.

Terdahulu, Senator DAP, Dr. RA Lingeshwaran Arunasalam membangkitkan isu berkaitan peranan institusi pendidikan awam selepas tular sebuah poster yang dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengenai pendaftaran saudara baharu/mualaf.

Beliau mempersoalkan sama ada institusi pendidikan awam wajar menjadi ruang untuk sebarang bentuk aktiviti yang boleh dilihat sebagai menggalakkan penukaran agama, walaupun secara tidak langsung.

Perkembangan tersebut mendapat reaksi pelbagai pihak dan menegaskan, perkara tersebut tidak menlanggar ketetapan perlembagaan persekutuan yang mengabsahkan bahawa Islam adalah agama persekutuan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share