
KUALA LUMPUR, 3 NOV 25 – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil, mencabar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, supaya segera mendedahkan terma exit clause yang kononnya wujud dalam perjanjian perdagangan timbal balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat.
Menurut Isham, kerajaan tidak boleh terus mengelirukan rakyat dengan alasan samar tanpa menunjukkan bukti sebenar bahawa Malaysia mempunyai jalan keluar daripada perjanjian tersebut.
“Sampai hari ini saya masih menunggu bila PMX Anwar dan Zafrul ingin tunjuk yang mana satukah terma-terma exit clauses yang mereka kata ‘ada’ dalam perjanjian itu. Mereka tidak tunjuk secara spesifik, hanya cakap-cakap ikut interpretasi sendiri,” katanya di laman facebook.
Beliau menegaskan, kenyataan Zafrul sebelum ini yang mentafsir Artikel 5.1 sebagai bukti kewujudan exit clause adalah tidak tepat dan “kelaut”, malah sehingga kini tiada jawapan balas terhadap hujah tersebut.
“Kalau benar exit clause itu wujud, tunjukkan kepada rakyat secara jelas dan telus supaya kita boleh nilai sama ada interpretasi itu betul, kabur, atau langsung tak betul,” ujarnya.
Isham turut mendakwa kerajaan mungkin menggunakan alasan exit clause hanya sebagai helah untuk menenangkan kebimbangan rakyat, sedangkan kuasa besar seperti Amerika tidak melihat peruntukan itu sebagai laluan mudah untuk keluar.
Beliau menambah, jika kerajaan benar-benar merujuk Artikel 7.5 sebagai satu-satunya termination clause yang membenarkan Malaysia menarik diri dalam tempoh 180 hari selepas notis, maka langkah terbaik adalah membatalkan perjanjian itu segera.
“Kalau betul ada klausa itu, batalkan sekarang sebelum negara tergadai dan kehilangan kedaulatan,” tegas Isham.
Isham sebelum ini lantang menentang perjanjian ART Malaysia-AS yang disifatkannya berisiko menjerumuskan negara dalam perangkap ekonomi dan ketergantungan kepada kuasa besar asing. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.