Dua Tahun Memerintah, Peniaga Kecil Terus Ditekan Kerajaan, Kata Tun Faisal

KUALA LUMPUR, 2 Jun 25 – Pengenalan penggunaan gas komersial menjadi tambahan beban buat peniaga kecil yang didakwa terus ditekan dalam tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan perpaduan melalui dasar penstrukturan semula subsidi, dakwa Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Ketua Penerangan Bersatu itu berkata, sejak dasar itu diperkenalkan, kos operasi perniagaan mereka terus meningkat dengan rakyat terus terbeban dengan kesan langsung daripadanya.

“Perlu diingat, peniaga nano, mikro dan kecil ini sudah lebih dua tahun terkesan akibat kegagalan polisi kerajaan PH-BN yang mengakibatkan kenaikan kos operasi mereka, iaitu akibat penarikan subsidi berbilion ringgit; pelbagai cukai baru; kenaikan cukai SST dan peluasan skopnya; dan kenaikan surcaj ICPT bil elektrik sektor komersial,” dakwanya.

Selain itu, kenaikan gaji minimum, dan kejatuhan nilai ringgit dakwanya turut memberikan kesan kepada perniagaan selain kenaikan harga diesel melebihi 50%.

“Ditambah dengan paksaan penggunaan gas komersial dan Ops Gasak, semua kenaikan kos ini akan mengakibatkan kenaikan harga makanan serta caj mesin pengering dobi.

“Siapakah yang terpaksa membayarnya? Sudah tentu pengguna, iaitu rakyat terbanyak,” kata Tun Faisal menerusi catatan facebooknya.

Katanya, ‘paksaan’ untuk peniaga menggunakan tong gas komersial akan memaksa kenaikan harga makanan bermasak dan perkhidmatan dobi akibat kenaikan kos gas yang akan ditanggung oleh rakyat

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) semalam menafikan dakwaan penjaja dan peniaga dilarang menggunakan tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi.

Menterinya, Datuk Armizan Ali, menegaskan dakwaan pemotongan dan pemansuhan subsidi LPG di bawah Ops Gasak yang dilaksanakan untuk mengekang ketirisan subsidi LPG juga adalah tidak benar.

Beliau berkata, langkah mewajibkan permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) hanya terpakai bagi mana-mana pihak yang menggunakan LPG melebihi 42 kilogram (kg) dan ia dilaksanakan sejak 2021. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share